MARDHATILLAH | BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL | BINA SYURGA DI RUMAH, BINA RUMAH DI SYURGA | SEKIRANYA KITA AHLI KARIAH TIDAK IMARAHKAN MASJID KITA, SIAPA LAGI.. KAN? ๐Ÿ•Œ #mardhatillah #sayangimasjidkita๐Ÿ’– #kitajagakita๐Ÿค#mohkomosojid ๐Ÿšถ๐Ÿšฒ๐Ÿ›ต๐Ÿš—...
Bookmark Blog Masjid Warisan Kariah Geylang!
KEMASKINI BLOG : AHAD 10 NOVEMBER 2024 07:05

Jumaat, 10 November 2023

Penghulu Segala Hari


JUMAAT adalah hari yang diagungkan. Ia juga hari istimewa buat kita sebagai hamba yang berserah diri kepada keagungan Yang Maha Pencipta.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya (hari cerah) adalah hari Jumaat, (kerana) pada hari ini (Nabi) Adam AS diciptakan, hari ini pula (Nabi) Adam dimasukkan ke dalam syurga dan dikeluarkan darinya" (HR Muslim).

Jumaat adalah hari yang terdapat pelbagai keistimewaan. Barakah melimpah diperoleh dengan cara meningkatkan 'ubudiyyah' atau pengabdian kepada Allah SWT untuk menyubur jiwa Islami dalam amal harian.

Jika dilihat, nama Jumaat itu sendiri berbeza berbanding hari lain. Istilah 'jumaat' dalam Qamus Al-Lughah Al-Arabiyah Al-Ma'ashir dapat dibaca dalam tiga bentuk ' jumu'ah, jum'ah dan juma'ah' yang membawa erti berkumpul.

Sementara hari lain memiliki makna mirip urutan angka dan nombor seperti Ahad (hari pertama), Isnain (hari kedua), Thulatsa (hari ketiga), Arbi'a (hari keempat) dan Khamis (hari kelima), serta Sabtu yang berakar kata dari sab'ah (hari ketujuh).

Pada era Arab Jahiliah, nama-nama hari terdiri Syiyar (Sabtu), Awwal (Ahad), Ahwan (Isnin), Jubar (Selasa), Dubar (Rabu), Mu'nis (Kamis) dan 'Arubah (Jumaat).

Nama klasik mengikut tradisi amalan jahiliah kemudian diubah selepas kedatangan Islam. Melaluinya, Rasulullah SAW tidak hanya melakukan pemurnian moral, tetapi juga pemurnian bahasa.

Kata-kata kurang tepat dimakna semula sesuai nilai keindahan Islam. Dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliah, 'Arubah' adalah momentum untuk menampilkan kemegahan, kebanggaan, berhias dan semacamnya.

Dalam Islam, 'Arubah' berubah menjadi Jumu'ah yang mengandungi erti berkumpul. Bukan sekadar berkumpul, kerana dalam syari'at, Jumaat mendapatkan gelaran 'sayyidul ayyam' atau penghulu segala hari.

Dengan kata lain, Jumaat menduduki kedudukan paling utama antara hari lainnya dalam seminggu. Oleh itu, Jumaat dikenali sebagai hari doa yang mustajab.

Hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada Jumaat terdapat suatu waktu yang tidak seorang hamba Muslim yang dia berdiri melaksanakan solat lantas dia memanjatkan suatu doa pada Allah bertepatan dengan waktu itu melainkan Allah akan memberi apa yang dia minta." (HR Bukhari dan Muslim).

Realitinya, antara kita ada yang terlupa atau tidak berasakan keutamaan Jumaat kerana terleka dengan rutin harian. Kesibukan setiap hari sering membuatkan kita lengah sehingga menyamakan Jumaat seumpama hari biasa.

Padahal pada setiap tahun adanya bulan utama, setiap bulan pula adanya hari utama dan setiap hari ada pula waktu utama.

Masing-masing memiliki kekhususan sehingga menjadi momentum yang sangat baik untuk merenungi diri, berdoa, bermunajat, berzikir dan meningkatkan ibadah kepada Allah SWT.

Keistimewaan Jumaat boleh dilihat daripada disunahkan mandi Jumaat. Dalam Al-Hawi Kabir karya al-Mawardi, Imam Syafie menjelaskan meskipun solat Jumaat dilaksanakan pada waktu Zuhur, mandi Jumaat boleh dilakukan sejak dinihari, selepas terbit fajar.

Mandi adalah simbol kebersihan dan kesucian diri. Selepas mandi, seseorang dianjurkan memakai pakaian terbaik terutama warna putih, sebelum berangkat menunaikan solat Jumaat.

Sebagai umat Muhammad SAW, kita diingatkan menyambut hari istimewa itu dengan kesiapan dan penampilan istimewa. Dalam Bidayatul Hidayah, Imam Abu Hamid al-Ghazali menyebut Jumaat sebagai hari raya mukminin atau 'idul mu'minin.

Imam al-Ghazali turut menyarankan umat Islam mempersiapkan diri menyambut Jumaat sejak Khamis lagi, dimulai dengan mencuci baju lalu memperbanyak membaca tasbih dan istighfar pada Khamis petang itu ketika ghurubnya matahari sudah memasuki waktu keutamaan Jumaat.

Jumaat seumpama ijtimak mingguan bagi umat Islam, kerana padanya ada solat berjemaah dan khutbah Jumaat. Setiap umat Islam lelaki yang tidak memiliki uzur syarie, wajib 'aini melaksanakannya.

Ertinya, selepas berkumpul mencukupi bilangannya, Jumaat menjadi momentum kesatuan umat sekali gus memupuk ketakwaan melalui nasihat positif disampaikan khatib.

Pada hari ini imam, bilal dan khatib memberi keutamaan dengan kesedaran untuk menunaikan solat Jumaat dengan penuh kesungguhan, menyemak khutbah secara baik, bukan cuma rutin sahaja, sekali imbas sekadar menggugurkan kewajipan.

Unjuran untuk menyuburkan amal Islami pada Jumaat dibuka seluasnya. Antaranya dengan memperbanyak selawat, doa, bersedekah, membaca surat al-Kahfi, al-Mulk, al-Waqiah, Sajadah, Insan, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, selain berwirid, berzikir serta ibadah lainnya.

Semua amalan ini memiliki fadilat mulia dan berlipat ganda ganjarannya. Imam as-Suyuthi dalam kitabnya Amal Yaum wa Lailah menyatakan: "Nabi SAW membaca Surat al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas sesudah solat Jumaat tujuh kali dan Baginda memperbanyak selawat pada Jumaat dan malamnya. Baginda juga mengerjakan solat sunah selepas solat Jumaat di rumahnya, tidak di masjid. Selepas itu apa yang dilakukan Nabi SAW? Baginda mengunjungi saudaranya, menjenguk orang sakit, menghadiri jenazah iaitu mengucapkan bertakziah atau menghadiri akad nikah."

Dengan demikian, kita sebagai umat yang mengharap redha Ilahi, dianjurkan menjadikan Jumaat sebagai hari khusus untuk memperbanyak ibadah.

Ulama dan 'abidin mengistirahat diri sejenak daripada hiruk-pikuk kesibukan duniawi, untuk mengkhususkan diri beramal soleh pada Jumaat.

Seperti dilakukan Rasulullah SAW, Jumaat bukan semata-mata meningkatkan ritual ibadah kepada Allah SWT, tetapi juga berbuat baik kepada sesama manusia seperti bersilaturrahim, berempati kepada orang yang menerima musibah, membantu mereka dan lain-lainnya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan al-Qadla'i dan ibnu Asakir dari Ibnu Abbas disebutkan hari Jumaat sebagai: "Hajinya orang fakir."

Oleh kerana itu patut bagi kita untuk meluangkan masa dan meningkatkan motivasi dengan merenung diri dan bermuhasabah, menaikkan kualiti ibadah kepada Allah SWT, memperbaiki hubungan sosial, serta memperbanyak amal sunat lainnya.

Cukuplah enam hari kita sibuk dalam mengurus hidup dalam mencari keperluan duniawi. Apa salahnya diistimewakan satu hari untuk menyegarkan kondisi rohani kita supaya tidak layu, kering ataupun kontang.

Semoga perkongsian ini memotivasikan jiwa untuk terus menggarap reda Ilahi, menyuburkan semangat untuk melaksanakan anjuran menambah tabungan amal Islami dengan bersungguh-sungguh dan kesedaran tinggi.

Niat dan hasrat kita untuk merealisasikan ubudiyyah kepada Rabb yang menguasai kita dan seluruh alam ini supaya menjadi insan rabbani.

Wallahu'alam.

#mohkomosojid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PESAN ABAH

Abah, Ayah, Bapa, Papa, Walid dan apa sahaja gelaran untuk seorang lelaki yang berhempas-pulas membanting tulang empat kerat untuk si anak, ...