Seni barzanji dan marhaban merupakan salah satu daripada seni suara warisan Islam. Ia telah lama diamalkan oleh masyarakat Islam dalam majlis-majlis tertentu. Seni barzanji dan marhaban adalah rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri.
Amalan ini memberikan implikasi yang baik kepada penghayatan sirah Rasulullah SAW serta mampu memupuk perpaduan kalangan masyarakat. Namun, perkembangan terkini mendapati amalan barzanji dan marhaban semakin terhakis dan dilupakan dalam masyarakat Islam.
MUKADIMAH
Aspek kesenian merupakan satu daripada kebudayaan hidup masyarakat. Seni suara merupakan satu cabang dalam kesenian Islam. Ia boleh dimanfaatkan sebagai satu medium dakwah. Antara seni suara dalam kesenian Islam ialah seni barzanji dan marhaban. Ia diamalkan dalam masyarakat Islam dan sering diadakan dalam majlis-majlis tertentu seperti Maulidur Rasul, menyambut kelahiran, perkahwinan dan sebagainya. Seni barzanji dan marhaban berfungsi sebagai satu media dakwah yang memaparkan tentang keperibadian dan perjuangan Rasulullah SAW yang mana tentunya boleh diteladani oleh masyarakat. Impak yang baik juga boleh diperolehi oleh masyarakat dengan wujudnya semangat persaudaraan dan menguatkan silaturrahim apabila sama-sama menghadiri dan menjayakan majlis barzanji dan marhaban.
Penulisan ini menyentuh daripada aspek sejarah dan amalan seni barzanji dan marhaban juga peranannya sebagai media dakwah. Usaha-usaha tertentu yang dirasakan perlu diambil turut dikemukakan bagi memperkasakan seni ini sebagai media dakwah seterusnya memastikan seni warisan Islam ini terus menjadi amalan masyarakat Islam.
BARZANJI
Barzanji merupakan satu bentuk seni suara Islam yang dipersembahkan dalam majlis atau upacara keagamaan seperti Maulud Nabi, aqiqah, menyambut kelahiran bayi, berkhatan dan juga majlis perkahwinan. Ia adalah hasil susunan Syeikh Jac far al-Barzanji yang merupakan rangkaian sejarah hidup Nabi Muhammad SAW menyentuh tentang keturunan, perkembangan kehidupan dari zaman kanak-kanak sehinggalah menjadi Rasul. Diceritakan dalam kitab barzanji tentang sejarah perjuangan serta keperibadian Rasulullah SAW yang seharusnya menjadi contoh teladan bagi seluruh umat manusia.
Sejarah awal amalan barzanji dan marhaban dikatakan bermula pada zaman kerajaan Fatimiyyah yang memerintah Mesir dan atau zaman Abasiyyah ketika pemerintahan Harun Ar-Rasyid. Ia dapat dikesan selepas 200 tahun kewafatan Rasulullah SAW. Dengan meluasnya penerimaan dan perkembangan Islam, ia membuka jalan kepada perkembangan kebudayaan manusia yang menjadikan Islam itu bukan hanya untuk orang Arab malahan masyarakat seluruhnya. Pada umumnya orang Melayu tidak membuat apa-apa gubahan gaya membaca barzanji, tetapi sekadar membaca seperti apa yang dibaca oleh orang Arab dengan dendangan kepelbagaian gaya suara. Ia dikatakan tersebar di kepulauan Melayu kira-kira 100 tahun yang lalu. Pengarang Kitab Maulid Barzanji ialah Sayyid Jac far bin Hasan bin Abdul Karim bin Sayyid Muhammad AlMadani.
Perkataan Barzanji itu dinisbahkan kepada kampung asal keturunan penulis iaitu Barzanj yang terletak di Iraq.
MARHABAN
Perkataan marhaban berasal daripada bahasa Arab مرحب ( marhaba yang bererti ucapan selamat atau hormat yang diucapkan bagi mengalu-alukan seseorang semasa bertemu. Ada yang menterjemahkan ungkapan ini kepada selamat datang. Perkataan مرحب ( marhaba berasal daripada perkataan kata kerja bahasa Arab رحب ( rahaba yang bererti lapang dan luas).
Dalam kitab barzanji, terdapat nazam khas yang dibaca dengan lagu-lagu yang menarik. Biasanya masyarakat Melayu menamakan pembacaan ini dengan nama marhaban. Acara marhaban ini dilakukan semasa membaca kitab barzanji pada bab keempat iaitu apabila sampai rangkap yang kelapan pada ayat yang menyebut baginda dilahirkan, pada ketika itu orang ramai pun berdiri sambil membaca marhaban.
Ia dilagukan dalam bahasa Arab dan bersumberkan dari kitab Majmuc ah Maulud Sharaf al-Anam. Marhaban bertujuan mengingati Nabi Muhammad SAW serta dapat menambah kemeriahan majlis yang diadakan. Marhaban sebenarnya mempunyai kaitan dengan penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah apabila baginda disambut dengan paluan gendang dan alunan nyanyian. Lagu nyanyian tersebut terkenal sehingga ke hari ini iaitu:
من ثنيات الوداع طلع البدر علينا
ما دعى هلل دا
وجب الشكر علينا
Terdapat pelbagai lagu marhaban sehingga ada juga yang menyesuaikan irama lagu Melayu atau Jawa dengan irama marhaban. Antara irama lagu marhaban adalah seperti syira, rakbi, nahwan, ras, babri, masri, hajaka dan haiya.
Amalan jampi mentera menjadi adat kebiasaan dalam masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam dan ia dikaitkan dengan pengaruh ajaran Hindu. Setelah kedatangan Islam mereka meninggalkan amalan jampi mentera tersebut dan mempelajari barzanji dan marhaban yang mengandungi puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Di negara kita khususnya, barzanji dan marhaban ini dikembangkan melalui peranan pusat pengajian Islam tradisional (pondok). Mereka bersama-sama dengan guru al-Quran melagu-lagukan barzanji dan dijadikan sebagai satu bentuk hiburan selepas belajar. Selepas tamat pengajian, mereka pulang ke kampung masing-masing dengan membawa bersama-sama amalan barzanji ini. Kebiasaannya mereka menjadi guru serta imam-imam di masjid-masjid dan surau-surau. Mereka menerapkan amalan ini dalam masyarakat setempat. Di samping itu juga, dengan adanya galakkan daripada Sultan dan pembesar-pembesar negeri turut membantu kepada perkembangan amalan ini. Terdapat kumpulan barzanji dan marhaban yang ditubuhkan khas oleh pihak istana dan kaum kerabat malahan pernah menjadi satu pengisian dalam majlis yang melibatkan adat istiadat Diraja.
Majlis-majlis Barzanji dan Marhaban
Amalan membaca barzanji dan marhaban telah menjadi satu amalan tradisi masyarakat Melayu. Kebiasaannya pembacaan barzanji dan marhaban dibuat dalam majlis-majlis yang berikut;
i. Menyambut Kelahiran Bayi
Sesetengah masyarakat Melayu masih mengekalkan adat warisan ini. Bila ada daripada kalangan anggota keluarga atau jiran tetangga yang mendapat anak, maka pada sebelah malamnya mereka datang ke rumah pasangan suami isteri yang baru mendapat cahaya mata itu. Mereka membaca doa selamat diikuti pembacaan berzanji dan marhaban. Adat seumpama ini bagi menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT di samping sama-sama melahirkan rasa gembira menyambut kehadiran anggota baru dalam keluarga. Dalam majlis ini biasanya semua bab yang terdapat dalam kitab barzanji termasuk doanya dibaca keseluruhannya. Ia mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke penghujung.
ii. Potong Jambul Bayi
Dalam majlis ini, pembacaan barzanji adalah satu acara yang paling penting. Kebiasaannya hanya empat bab sahaja yang dibaca. Semasa para hadirin berdiri sambil membaca marhaban, pada masa itulah bayi dibawa dan digunting beberapa helai rambutnya. Adakalanya bayi berkenaan sudah melebihi satu tahun. Dalam upacara tersebut, amalan yang diharapkan mendapat pahala adalah melalui amalan pembacaan barzanji dan marhaban, ini adalah kerana dalam bacaan barzanji dan marhaban mengandungi puji-pujian dan selawat ke atas Rasulullah SAW. Apa yang sunat dilakukan ke atas kelahiran bayi menurut yang disyariatkan ialah dalam tempoh seminggu kelahirannya sunat dibuat aqiqah, diberi nama serta dicukur semua rambutnya.
iii. Majlis Berkhatan
Pembacaan barzanji yang diikuti marhaban dan doa selamat kadang-kadang turut diadakan dalam majlis berkhatan. Biasanya majlis ini diadakan pada waktu sebelah malam dan keesokan harinya kanakkanak itu akan dikhatankan. Sebanyak mana bab dalam bacaan barzanji itu adalah bergantung kepada permintaan tuan rumah.
iv. Majlis Perkahwinan
Barzanji dan marhaban juga dibaca oleh pengantin perempuan dengan ditemani pengiringnya pada hari melangsungkan perkahwinan. Sama seperti majlis yang lain, tidak kesemua bab dibaca. Adat ini hanya diamalkan oleh segelintir masyarakat Melayu sahaja. Adat sedemikian semakin ditinggalkan lebih-lebih lagi masyarakat kota yang kebanyakannya tidak lagi memberikan perhatian kepada adat resam nenek moyang mereka.
v. Majlis Sambutan Memperingati keputraan Rasulullah SAW
Sudah menjadi satu kemestian majlis ini diadakan pembacaan barzanji dan marhaban di dalamnya. Walaupun majlis ini merupakan majlis memperingati keputraan Nabi Muhammad SAW, namun bilangan bab barzanji masih juga terhad iaitu antara satu hingga empat bab dan diakhiri dengan doa. Malah adakalanya hanya satu bab barzanji yang dibaca iaitu bab empat yang mengisahkan saat keputraan Nabi Muhammad SAW. Namun dalam majlis sambutan ini pembacaan barzanji bukanlah acara kemuncak, sebaliknya adalah sesi ceramah yang disampaikan.
Berdasarkan kepada apa yang dijelaskan di atas, secara umumya bolehlah dikatakan bahawa masyarakat Melayu mengadakan pembacaan berzanji pada majlis-majlis yang menggambarkan kesyukuran, kegembiraan, memohon keselamatan dan kesejahteraan serta majlis sambutan perayaan maulid. Budaya membaca barzanji adalah satu amalan yang baik, membacanya bermakna membaca kisah Rasulullah SAW dan perkembangan Islam. Acara pembacaannya lebih kepada sebagai satu bentuk pengisian sesuatu majlis keramaian. Selain dari majlis-majlis yang telah disebutkan, barzanji juga dipersembahkan apabila seseorang itu hendak bermusafir (kebiasaannya ketika hendak pergi menunaikan fardhu haji), sebelum menghantar rombongan peminangan dan ketika mula menduduki rumah baharu.
Kebaikan Amalan Barzanji dan Marhaban Dalam Masyarakat Melayu
Amalan barzanji telah diperkenalkan kepada masyarakat Melayu Islam sejak awal kedatangan Islam lagi. Dalam erti kata lainnya, masyarakat Melayu telah diperkenalkan dengan barzanji serentak dengan penerimaan orang-orang Melayu kepada Islam. Mereka bukan sahaja menjadikan amalan barzanji sebagai satu budaya malahan meletakkan kepentingan itu seperti amalan keagamaan yang lain. Ini adalah kerana dalam barzanji mengandungi bacaan selawat kepada Rasulullah SAW dan akan mendatangkan pahala kepada yang membacanya. Antara kesan yang baik daripada majlis pembacaan barzanji dan marhaban ialah :
i. Medium Penyatuan dan Mengeratkan Silaturrahim
Majlis barzanji dan marhaban sering diadakan bagi meraikan majlis-majlis tertentu. Upacara keramaian seumpama ini tentu dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Penglibatan masyarakat yang bersama-sama dalam majlis-majlis yang diadakan tentu sekali akan memberi kesan baik kepada semangat kekitaan dan memupuk ikatan ukhuwwah serta suasana harmoni dalam masyarakat itu sendiri.
ii. Menambahkan Keceriaan Sesuatu Majlis
Pembacaan seni barzanji dan marhaban sebagai satu pengisian kepada majlis-majlis yang diadakan akan menceriakan lagi majlis tersebut. Alunan seni barzanji dan marhaban menjadikan majlis yang diadakan lebih meriah lebih-lebih lagi apabila para hadirin turut sama melibatkan diri dalam sesi barzanji dan marhaban yang dilangsungkan. Sesuatu majlis akan lebih lengkap dengan pengisian barzanji dan marhaban.
iii. Menghayati Sirah dan Perjuangan Rasulullah SAW
Kitab barzanji mengandungi sejarah hidup Rasulullah SAW bermula dari keputraan baginda hinggalah kewafatan baginda. Membaca serta menghayati kandungan berzanji secara tidak langsung akan menambahkan kecintaan dan meneladani peribadi Rasulullah SAW.
iv. Pemuliharaan Seni Warisan Islam
Seni barzanji dan marhaban adalah satu warisan seni dalam kesenian Islam. Mengadakannya bermakna satu usaha untuk terus menghidupkan seni warisan ini, lebih-lebih lagi amalan barzanji dan marhaban dilihat semakin dilupakan terutamanya oleh generasi baru pada hari ini. Masyarakat umumnya boleh memainkan peranan bagi menyemarakkan seni ini dengan menjadikannya sebagai satu pengisian dalam majlis-majlis yang diadakan.
#mohkomosojid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan