MARDHATILLAH | BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL | BINA SYURGA DI RUMAH, BINA RUMAH DI SYURGA | SEKIRANYA KITA AHLI KARIAH TIDAK IMARAHKAN MASJID KITA, SIAPA LAGI.. KAN? ๐Ÿ•Œ #mardhatillah #sayangimasjidkita๐Ÿ’– #kitajagakita๐Ÿค#mohkomosojid ๐Ÿšถ๐Ÿšฒ๐Ÿ›ต๐Ÿš—...
Bookmark Blog Masjid Warisan Kariah Geylang!
KEMASKINI BLOG : RABU 16 OKTOBER 2024 16:05

PPRSM

TARIKH PROPOSAL : 12hb NOVEMBER 2021


PROJEK PEMBESARAN RUANG SOLAT MUSLIMAH (PPRSM)


1. LATARBELAKANG PROJEK :

Masjid Warisan Kariah Kg Geylang merupakan sebuah masjid kategori luar bandar yang terletak di dalam perkampungan Kampung Geylang, Pertang, Jelebu Negeri Sembilan. Pihak pengurusan masjid yang terdahulu telah membina satu ruang terbuka untuk kegunaan sebagai tempat mesyuarat dan tempat jamuan makan serta ruang ini juga digunakan sebagai ruang solat tambahan semasa Solat Sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Kini, ruang terbuka tersebut hanya digunakan sebagai balai tempat jamuan makan sahaja kerana ruang terbuka ini tidak lagi sesuai untuk dijadikan tempat bermesyuarat dan untuk bersolat kerana ruang ini hanya berlantaikan tar dan tidak bersiling hanya beratapkan zink.


2. OBJEKTIF PROJEK :

2.1 Menaik-taraf ruang terbuka menjadi ruang tertutup untuk menampung jemaah muslimah yang ramai ketika musim perayaan dan majlis keraian serta memberi keselesaan kepada ahli kariah. Apatah lagi dengan situasi sekarang kita berada dalam pandemik wabak COVID-19, SOP masjid penjarakkan fizikal semasa bersolat perlu dipatuhi.

2.2 Menyediakan ruang solat yang selesa lengkap berkarpet, berlampu, kipas angin, pembesar suara dan penghawa dingin di ruang tertutup ini agar memberi keselesaan kepada jemaah muslimah menunaikan solat sendirian mahupun berjemaah.

2.3 Dahulu sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18hb Mac 2020, sebelum berlakunya pandemik wabak COVID-19, jemaah muslimah bersolat di ruang solat utama sebelah kiri jemaah lelaki (sila rujuk Photo 6). Setelah SOP masjid dikuatkuasakan bermula Ogos 2020, penjarakkan fizikal semasa bersolat perlu dipatuhi dan jemaah muslimah dipindahkan ke ruang solat luar daripada ruang solat utama iaitu di sebelah kanan kerana ruang solat di sebelah kiri terlalu sempit (sila rujuk Photo 4). Ini menjadikan Masjid Warisan Kariah Geylang satu-satunya masjid di dalam Daerah Jelebu yang ruang solat jemaah muslimahnya di sebelah kanan (sila rujuk Photo 5).

2.4 Pembesaran ruang solat jemaah muslimah ini juga kelak akan dijadikan sebagai tempat tertutup dan ekslusif bagi Kelas Takmir Muslimah (Pengajian Al-Quran dan juga kelas Fardhu Ain).


3. SKOP PROJEK :

3.1 Projek menaik-taraf ruang terbuka dirancang merangkumi kemudahan-kemudahan berikut :

 

Penerangan Projek

1.

Ruang solat jemaah muslimah berdinding, bersiling dan tertutup berukuran 31 kaki panjang x  33 kaki lebar. Boleh memuatkan lebih kurang 40 orang jemaah dengan SOP masjid penjarakkan fizikal dan seramai 80 orang jemaah semasa saf rapat.

2.

Lantai dinaikkan selaras dengan aras lantai ruang solat utama masjid.

3.

Memasang karpet, lampu, kipas angin, pembesar suara, penghawa dingin dan InfoTV Masjid.



4. JUSTIFIKASI PROJEK :

4.1 Memberi kemudahan yang sesuai dan kondusif bagi masyarakat setempat untuk menunaikan solat.

4.2 Mengatasi masalah ketidakselesaan kepada ahli kariah untuk menunaikan solat (ruang solat muslimah yang sempit).

4.3 Memenuhi keperluan kemudahan tempat bersolat yang selesa bagi jemaah muslimah untuk tahun-tahun mendatang.

4.4 Sesatunya masjid kariah yang menjadi tumpuan selain daripada ahli kariah Kampung Geylang, turut dihadiri jemaah yang datang daripada kampung-kampung dan taman-taman perumahan yang berhampiran seperti Kampung Melayu Pertang, Kampung Baru Tambahtin, Taman Bukit Pertang dan Taman Teratai Pertang.

Jarak Masjid Warisan Kariah Geylang dengan masjid yang berhampiran :

Terdapat 2 buah masjid yang berhampiran iaitu :

1) Masjid Kariah Kerangai (masjid yang lama telah dirobohkan dan masjid baru kini sedang dalam pembinaan di tapak masjid lama) sejauh lebih kurang 11km.

2) Masjid Kariah Simpang Pertang sejauh lebih kurang 14km.


5. OUTPUT DAN FAEDAH JANGKA PANJANG HASIL DARIPADA PROJEK :

5.1 Kemudahan sempurna dapat memberikan hasil dan keselesaan suasana lebih selesa dan kondusif selaras dengan falsafah kerajaan, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Juga bersesuaian dengan Visi JHEAINS sebagai institusi berwibawa dalam mengembangkan syiar Islam dan melahirkan masyarakat sejahtera.

5.2 Bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera, memenuhi keperluan untuk keselesaan jemaah muslimah khasnya dan masyarakat setempat amnya merupakan matlamat kami sebagai Pentadbir Masjid (bagi tahun 2021/2022) yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tanggungjawab memberi khidmat terbaik kepada para jemaah.

5.3 Menjadikan prasarana masjid yang lebih lengkap mencakupi ruang solat jemaah muslimah yang dapat digunakan pada bila-bila masa termasuk semasa Hari-hari Perayaan dan juga semasa sambutan Hari-hari Kebesaran Islam lainnya. Kemudahan yang ada dapat meningkatkan kehadiran jemaah ke masjid dan memberi keselesaan kepada jemaah yang menunaikan solat di masjid terutamanya jemaah muslimah.


6. KESIMPULAN :

Pembesaran ruang solat jemaah muslimah ini amat diperlukan atas sebab keperluan yang mendesak kini.

Ruang solat jemaah muslimah yang dibesarkan ini juga kelak akan dijadikan sebagai tempat tertutup dan ekslusif bagi Kelas Takmir Muslimah (Pengajian Al-Quran dan juga kelas Fardhu Ain). Kelas diadakan 6 kali dalam sebulan iaitu pada setiap hari Jumaat (kelas Al-Quran) jam 3.30pm-5.00pm dan setiap hari Sabtu (kelas Fardhu Ain) jam 10.00am-11.00am minggu pertama, kedua dan ketiga setiap bulan.

Sekadar makluman, sudah 2 tahun (tahun 2020 dan 2021), jemaah muslimah kariah ini tidak dibenarkan hadir untuk berjemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha. Tahun 2020 disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan tahun 2021 dengan alasan ruang solat tidak mencukupi kerana mematuhi SOP masjid penjarakkan fizikal semasa bersolat. Ruang yang terhad hanya dibuka untuk jemaah muslimin.

Adalah diharapkan agar kami (pihak pengurusan masjid) tidak lagi memberikan alasan yang sama kepada jemaah muslimah pada tahun 2022 nanti, jemaah muslimah tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid atas sebab ruang solat yang terhad bagi tahun ketiga berturut-turut.

Semoga Allah permudahkan segala urusan. Amin Ya Rabbal Alamin.


PHOTO RUJUKAN

Photo 1 :

[Gambar bahagian luar hadapan masjid].

Photo 2 :

[Gambar di bahagian luar tepi sebelah kiri masjid].

Ditandakan dengan kotak berwarna merah kawasan yang akan dibina untuk dijadikan ruang solat khusus bagi jemaah muslimah.

Photo 3 :

[Gambar di bahagian dalam sebelah kiri masjid].

Ditandakan dengan kotak berwarna merah, tingkap cermin yang akan dibuka dan digantikan dengan kain tabir sebagai pintu laluan ke ruang solat jemaah muslimah tanpa ‘mengusik’ ukiran atau kerawang yang berkenaan. Tiada juga dinding yang perlu dirobohkan.

Photo 4 :

[Gambar di bahagian dalam sebelah kiri masjid].

Ditandakan dengan kotak berwarna merah untuk menunjukkan betapa sempitnya ruang ini untuk dijadikan ruang solat jemaah muslimah. Dengan SOP masjid terkini penjarakkan fizikal semasa bersolat, hanya muat untuk SEORANG jemaah sahaja bagi setiap saf.

Photo 5 :

[Gambar di bahagian dalam sebelah kanan masjid].

Ruang solat ini diberikan kepada jemaah muslimah buat masa ini. Tetapi pabila solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha, jemaah muslimah tidak dibenarkan hadir memandangkan ruang solat yang amat terhad. Ruang solat ini dibuka untuk jemaah muslimin.

Sudah 2 tahun (tahun 2020 dan 2021) jemaah muslimah tidak dapat hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha di masjid ini. Diharapkan agar tahun 2022 kelak, setelah projek pembesaran ruang solat jemaah muslimah dapat direalisasikan, memberikan sinar harapan kepada jemaah muslimah untuk solat berjemaah bagi solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha. Juga semasa Hari-hari Kebesaran Islam yang lain seperti sambutan Ma’al Hijrah, sambutan Maulidur Rasul, sambutan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, malam Nisfu Sya’ban, dan juga solat sunat Terawih di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Insya’Allah.

Photo 6 :

[Gambar di bahagian dalam sebelah kiri masjid].

Ruang solat utama yang dahulunya dijadikan tempat ruang solat bagi jemaah muslimah. Apabila dikuatkuasakan SOP masjid penjarakkan fizikal semasa bersolat, ruang solat jemaah muslimah terpaksa dipindahkan ke ruang solat sebelah kanan seperti Photo 5.

Photo 7 :

[Gambar di bahagian dalam ruang solat utama masjid].

Ruang solat utama ini yang hanya dapat memuatkan 41 orang jemaah sahaja dengan SOP masjid penjarakkan fizikal semasa bersolat.


Tarikh Proposal : 12hb November 2021.

Untuk info lanjut berkenaan sumbangan secara online boleh terus ke halaman InfaQ OnLine.

Lihat juga status terkini perkembangan pembinaan PPRSM DI SINI.

PESAN ABAH

Abah, Ayah, Bapa, Papa, Walid dan apa sahaja gelaran untuk seorang lelaki yang berhempas-pulas membanting tulang empat kerat untuk si anak, ...