MARDHATILLAH | BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL | BINA SYURGA DI RUMAH, BINA RUMAH DI SYURGA | SEKIRANYA KITA AHLI KARIAH TIDAK IMARAHKAN MASJID KITA, SIAPA LAGI.. KAN? 🕌 #mardhatillah #sayangimasjidkita💖 #kitajagakita🤝#mohkomosojid 🚶🚲🛵🚗...
Bookmark Blog Masjid Warisan Kariah Geylang!
KEMASKINI BLOG : RABU 16 OKTOBER 2024 16:05

Badan Khairat


Badan Khairat Kematian dan Kebajikan Masjid Warisan Kariah Geylang (BKKKMWKG) ditubuhkan pada 1hb Januari 2023. Kenapa baru sekarang ditubuhkan sedangkan Masjid Kariah Kg Geylang ini dibina pada tahun 1950an lagi? Memang akan terdapat persoalan seperti ini dikalangan para pembaca bukan?

Biarlah persoalan ini dijawab oleh mereka yang lebih arif berkenaan perihal sejarah masjid warisan ini. Sebagai 'orang luar' yang cuba melakukan perubahan, hal sebegini dianggap oleh segelintir yang mengaku anak Geylang sebagai sensitif mencampuri urusan mengganggu lopak orang, cuit sana cuit sini. Biarlah diserahkan kepada anak Geylang untuk diselesaikan sendiri.

Dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung, begitulah peribahasanya. Sebagai seorang 'orang luar' yang menumpang berjemaah di masjid warisan ini, tujuan hanyalah untuk mengimarahkan masjid kerana Allah. Nokhtah.

Bagi anak Geylang lainnya yang merantau tinggal berjauhan dari Kg Geylang, blog ini jadikanlah sebagai jambatan untuk mendapat sedikit info terkini berkenaan perkembangan Masjid Warisan Kariah Geylang yang kita cintai ini. Kelak, jika balik kampung nanti, jangan sesekali lupa untuk datang 'menjengah' masjid warisan ini yea. 

Di bawah ini dikongsikan info perihal Polisi, Syarat-syarat dan Prosedur BKKKMWKG. Anak-anak Geylang yang berhajat untuk menjadi sebahagian daripada Ahli BKKKMWKG, bolehlah membuat permohonan mendaftar diri sebagai Ahli secara online dengan klik butang di bawah  :


Polisi & Prosedur Khairat Kematian


1. MUKADIMAH

Badan Khairat Kematian dan Kebajikan Masjid Warisan Kariah Geylang (BKKKMWKG) adalah satu tabung pengurusan jenazah dan kebajikan yang ditubuhkan oleh AJK Pentadbiran dan Pegawai Masjid bersama persetujuan sebulat suara daripada ahli kariah Masjid Warisan Kariah Geylang (MWKG) yang turut sama menghadiri Mesyuarat Khas Pemilihan AJK Tertinggi Masjid bagi sesi 2023/2024 jam 3 petang pada hari Ahad 18hb Disember 2022 yang lalu.

Pengurusan dan pelaksanaan BKKKMWKG ini diamanahkan kepada Jawatankuasa Kecil Biro Khairat Kematian dan Kebajikan yang dilancar dan diuruskan mulai bulan Januari 2023. Insya'Allah.


2. OBJEKTIF PENUBUHAN BKKKMWKG

BKKKMWKG ditubuhkan bertujuan bagi memenuhi objektif berikut:
  • Menampung kos perbelanjaan pengurusan jenazah Ahli atau tanggungan Ahli apabila berlaku kematian berdasarkan kepada kadar kos semasa;
  • Memungut dan mengumpul bayaran yuran yang diterima, mengurus perbelanjaan pengurusan jenazah dan menyediakan rekod bertulis (laporan kewangan tahunan) akaun wang tabung khairat secara sistematik;
  • Menaik-taraf persekitaran dan landskap kawasan Tanah Perkuburan Geylang Hulu dan Hilir;
  • Menyediakan prasarana yang sebaiknya bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung di kedua-dua Tanah Perkuburan berkenaan; dan
  • Menyediakan peluang kepada ahli kariah untuk sama-sama menyumbang sebagai amalan kebajikan (infaq) dengan cara membantu Ahli atau tanggungannya yang memerlukan bantuan berupa bantuan kewangan apabila ditimpa ujian musibah seperti kemalangan, banjir, ribut taufan, tanah runtuh dan sebagainya.

3. UNDANG-UNDANG KECIL BADAN KHAIRAT KEMATIAN DAN KEBAJIKAN MWKG

3.1. Kelayakan

Dibuka kepada SEMUA penduduk Islam yang bermastautin dalam kariah Masjid Warisan Kariah Geylang (MWKG) samada penduduk tetap atau sementara (penyewa). Juga dibuka kepada jemaah tetap MWKG yang tinggal di luar kariah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan bertulis daripada Pengerusi BKKKMWKG.

3.2. Tempoh Minima Mendapat Manfaat Ahli

Tiada tempoh minima untuk mendapat manfaat atau kemudahan. Ahli layak menuntut manfaat sebaik sahaja mendaftar dengan syarat Ahli dalam keadaan sihat dan tidak koma semasa mendaftar.

3.3. Maksud Ahli dan Tanggungan Ahli
  • Umur kemasukan Ahli dan pasangannya adalah bermula pada usia 18 tahun berdasarkan tarikh kelahiran;
  • Tanggungan Ahli ialah keluarga terdekat iaitu isteri/suami, anak atau anak-anak yang belum berumah tangga atau belum berdikari DAN umur anak tidak lebih 23 tahun;
  • Anak yang berumur 18 hingga 23 tahun boleh mendaftar berasingan bergantung kepada kemampuan keluarga;
  • Anak angkat yang berumur tidak lebih daripada 23 tahun yang dibela sejak kelahirannya dan hendaklah disahkan statusnya oleh peserta; dan
  • Anak tiri yang berumur tidak lebih daripada 23 tahun yang dikahwini oleh duda/janda semasa tarikh pendaftaran keahlian.
3.4. Jumlah Ahli Keluarga Menerima Manafaat

Faedah khairat dalam satu keluarga adalah untuk seramai maksima 3 orang sahaja bagi tempoh satu tahun. Faedah ini juga mengambil kira Ahli/keluarga yang didaftarkan yang meninggal dunia di luar kariah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Geylang Hulu atau Hilir.

3.5. Pendaftaran Ahli Keluarga Secara Berasingan

3.5.1. Ahli keluarga seperti ibu/bapa yang tinggal bersama tidak perlu memohon menjadi ahli berasingan. Tempoh tinggal bersama hendaklah sekurang-kurangnya 6 bulan ke atas.

3.5.2. Anak atau anak-anak yang sudah mencapai umur lebih 23 tahun dan masih tinggal bersama dengan Ahli serta berminat menjadi ahli BKKKMWKG, perlulah mendaftar sebagai Ahli baru.

3.6. Bayaran Yuran Tahunan

Bayaran yuran tahunan BKKKMWKG adalah sebanyak RM60-00 untuk seorang Ahli dan tanggungannya yang didaftarkan. Bayaran boleh dibuat kepada Bendahari ataupun AJK BKKKMWKG yang dilantik dan mendapat kebenaran bertulis daripada Pengerusi BKKKMWKG. Bayaran yuran tahunan perlu dijelaskan oleh Ahli selewat-lewatnya sebelum 31hb Mac setiap tahun.

Bagi Ahli yang tidak mampu menjelaskan bayaran penuh Yuran Tahunan RM60-00 sekaligus, dibenarkan untuk membuat bayaran secara ansuran RM20-00 Januari, RM20-00 Februari dan RM20-00 Mac. Kebenaran bayaran secara ansuran ini adalah atas penilaian Jawatankuasa BKKKMWKG.

3.7. Yuran Pendaftaran dan Kad Keahlian

Yuran pendaftaran keahlian dikenakan RM30-00 sekali seumur hidup. Ahli yang mendaftar akan diberikan satu kad keahlian dengan kadar caj RM5-00 untuk satu kad keahlian.

3.8. Ahli Yang Berpindah Kawasan Membayar Yuran Penuh

Seseorang Ahli yang telah membayar yuran tahunan SEPENUHNYA dan kemudian berpindah keluar dari kariah Kg Geylang dalam tempoh tahun berkenaan adalah LAYAK menuntut manfaat ahli BKKKMWKG sekiranya berlaku kematian setelah berpindah. Tuntutan manfaat ahli hendaklah dibuat tidak lebih daripada tempoh 3 bulan selepas tarikh kematian. Tuntutan yang dilakukan selepas tempoh 3 bulan daripada tarikh kematian tidak diterima.

Seseorang Ahli yang berpindah keluar dari kariah Kg Geylang tetapi berhasrat untuk terus kekal sebagai Ahli hendaklah menyatakan hasratnya secara bertulis kepada Pengerusi BKKKMWKG dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh pindah.

Sekiranya Ahli yang berpindah keluar dari kariah Kg Geylang TANPA makluman bertulis kepada Pengerusi BKKKMWKG untuk terus kekal sebagai Ahli, keahliannya akan terbatal secara sendiri selepas 3 bulan daripada tarikh pindah.

3.9. Ahli Yang Berpindah Kawasan TIDAK Membayar Yuran Penuh

Seseorang Ahli yang TIDAK membayar yuran tahunan sepenuhnya dan berpindah keluar dari kariah Kg Geylang dalam tempoh tahun berkenaan adalah TIDAK LAYAK menuntut manfaat ahli BKKKMWKG sekiranya berlaku kematian setelah berpindah.

3.9.1 Ahli Yang Tidak Aktif

Ahli yang tidak membuat bayaran yuran tahunan selama 2 tahun berturut-turut maka keahliannya dikira TIDAK AKTIF dan TIDAK LAYAK menerima manfaat sebagai Ahli BKKKMWKG. Untuk mengaktifkan semula keahlian, Ahli berkenaan dikehendaki membuat bayaran tahunan yang tidak dijelaskan DAN tahun semasa, JUGA termasuk perlu membayar caj mengaktifkan kembali status keahlian sebanyak RM20-00.


4. MANFAAT SEBAGAI AHLI BKKKMWKG

Ahli akan menerima bayaran khairat sebanyak RM600-00 bagi satu kematian dan maksima RM1,800-00 bagi tiga kematian dalam tahun yang sama SEKIRANYA Ahli membuat tuntutan manfaat Ahli kepada Bendahari BKKKMWKG dengan menyerahkan semua salinan dokumen yang diperlukan (sila rujuk Fasal 7).


5. MAKLUMAT KOS SEMASA PENGURUSAN JENAZAH
  1. Mandi dan kafan - RM150 (siang) / RM200 (malam)
  2. Set kit pengurusan jenazah - RM230
  3. Van Jenazah - RM70 - RM100 (caj bagi Van Jenazah Masjid Kerangai/Masjid Simpang Pertang)
  4. Talkin - RM50 (siang) / RM70 (malam)
  5. Pengurusan menggali kubur RM150 (siang) / RM250 (malam)
        JUMLAH KESELURUHAN = RM650 - RM850

Pengurusan jenazah bagi yang BUKAN AHLI, jumlah keseluruhan di atas perlulah dijelaskan segera secara bayaran TUNAI kepada Bendahari BKKKMWKG ataupun selewatnya dalam tempoh seminggu daripada tarikh pengkebumian.


6. TURUTAN LANGKAH PROSEDUR DAN KAEDAH BAYARAN PENGURUSAN JENAZAH

Apabila berlaku kematian, sila ikuti langkah-langkah berikut :
  • LANGKAH 1 (Tindakan Waris / Ahli) - Hubungi Pegawai atau AJK Masjid;
  • LANGKAH 2 - Buat laporan Polis dan dapatkan Permit Pengkebumian; dan
  • LANGKAH 3 - Semak status terkini keahlian khairat (sekiranya status keahlian AKTIF, kos pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh BKKKMWKG manakala BUKAN AHLI atau keahlian TIDAK AKTIF, bayaran pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh waris dan bayaran secara TUNAI perlu dibuat segera kepada Bendahari BKKKMWKG selepas selesai urusan pengkebumian ataupun selewatnya dalam tempoh seminggu daripada tarikh pengkebumian).

7. DOKUMEN YANG DIPERLUKAN BAGI PENGURUSAN JENAZAH

Bagi melancarkan urusan pengurusan jenazah dan tuntutan bayaran wang dari akaun khairat, Ahli atau waris dimohon untuk menyerahkan SATU salinan (fotokopi) dokumen berikut kepada pihak Pengurusan BKKKMWKG :
  1. Sila kemukakan Kad Keahlian BKKKMWKG atau salinan MyKad atau MyKid atau Sijil Kelahiran arwah;
  2. Salinan borang pendaftaran kematian JPN;
  3. Salinan permit pengkebumian oleh pihak Polis; dan
  4. Salinan MyKad Ahli/waris yang menuntut wang khairat.

8. PEMBATALAN KEAHLIAN

Keahlian dan keistimewaan (manfaat) Ahli akan terbatal dengan sendirinya sekiranya berlaku salah satu perkara berikut :
  1. MURTAD - Tidak lagi beriman kepada Allah Yang Maha Esa; atau/dan
  2. BERPINDAH LUAR KARIAH - Sila rujuk Fasal 3.8 di atas.
Sekiranya Ahli berhasrat untuk tidak lagi menjadi Ahli BKKKMWKG, Ahli tersebut perlulah menyatakan hasratnya secara bertulis kepada Pengerusi BKKKMWKG.

Mantan Ahli hanya akan menerima pemulangan bayaran yuran keahlian RM30-00 sahaja setelah permohonan bertulisnya DILULUSKAN oleh Pengerusi BKKKMWKG dan memulangkan kembali Kad Keahlian kepada Setiausaha BKKKMWKG untuk dibatalkan keahliannya.

Mantan Ahli TIDAK BERHAK untuk menuntut pemulangan semula segala bayaran yang telah dibayar kepada BKKKMWKG kecuali yuran keahlian.

*Pemulangan bayaran yuran keahlian TIDAK TERPAKAI sekiranya pembatalan keahlian disebabkan MURTAD atau BERPINDAH LUAR KARIAH.


9. JAWATANKUASA TERTINGGI PENGURUSAN BKKKMWKG

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan BKKKMWKG Sesi 2023/2024
(Untuk Pendaftaran Ahli, Bayaran Yuran Dan Tuntutan Manfaat Ahli)

 JAWATAN           PENGERUSI
 NAMA  TN. IMAM ABD RAHMAN BIN HJ ABD AZIZ
 NO. HP  019-626 0961

 JAWATAN  SETIAUSAHA
 NAMA  EN. WAN JOHARI BIN WAN HARUN
 NO. HP  019-668 5349

 JAWATAN  BENDAHARI
 NAMA  EN. JAMALUDDIN BIN ARIPIN
 NO. HP  017-427 1172

9.1. Maklumat Pengurus Tanah Perkuburan

 

Tanah Perkuburan Geylang Hilir

Tn. Bilal Ami

019-646 0224

 

 

 

Tanah Perkuburan Geylang Hulu

En. Jamaluddin

017-427 1172


*Sebarang perubahan atau pindaan syarat tertakluk kepada situasi semasa dan tanpa pemberitahuan awal kepada Ahli.

BULAT AIR KERANA PEMBETUNG, BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT

SEPAKAT MEMBAWA BERKAT

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”.
- Surah Ali ‘Imran ayat 104 - 

Tarikh Berkuatkuasa : 31hb Januari 2023

 
 
Contoh Kad & Sijil Keahlian Badan Khairat Kematian & Kebajikan MWKG😎

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PESAN ABAH

Abah, Ayah, Bapa, Papa, Walid dan apa sahaja gelaran untuk seorang lelaki yang berhempas-pulas membanting tulang empat kerat untuk si anak, ...