Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan pandangan manusia, Luqman al Hakim telah membawa anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai. Mulanya, Luqman al Hakim menunggang keldai itu, anaknya pula yang mengendalikan keldai itu sambil berjalan kaki, maka orang ramai berkata:
"Inilah orang tua yang tidak mengasihani anaknya, dia bersenang lenang di atas keldai, anaknya pula berjalan kaki!"
Berikutnya, Luqman al Hakim menaikkan anaknya ke atas keldai dan beliau sendiri pula yang mengendalikan keldai dengan berjalan kaki, maka orang ramai berkata :
"Sungguh biadap anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang-lenang di atas keldai!"
Seterusnya, Luqman al Hakim bersama anaknya menaiki keldai itu bersama-sama, maka berkata pula orang ramai :
"Lihat! seekor keldai membawa dua orang! Alangkah siksanya keldai itu membawa beban berganda!"
Akhirnya, Luqman al Hakim dan anaknya tidak menunggang keldai itu dan membiarkan ia kosong saja, orang ramai berkata lagi :
"Alangkah anehnya, keldai dibiarkan kosong tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja!"
Apa pengajaran yang kita dapat daripada kisah ini wahai pembaca yang dirahmati Allah?
Pepatah Arab mengatakan "Ridhannas ghoyatun la tudrak!"
Maksudnya. kepuasan atau persetujuan daripada SEMUA pihak adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dicapai.
Inilah yang kita katakan pandangan manusia, pandangan yang selalunya silap, jika dibandingkan dengan pandangan Allah. Sangat benar, pandangan manusia itu sering berbeza-beza. Setiap apa yang dilakukan pasti ada saja yang tidak bersetuju, mungkin majoriti, mungkin juga minoriti, tapi hakikatnya pasti ada perbezaan, pasti ada ketidakpuasan hati, pasti ada yang mengutuk dan mengeji, ada saja yang tidak kena pada pandangan mereka.
Daripada kisah ini, kita tidak boleh mengatakan orang ramai yang memberi komen-komen itu jahil atau silap, ada benarnya setiap komen itu bukan? Ya, memang ada benarnya, kita akui itu, tetapi setiap komen itu datangnya daripada pandangan manusia yang pastinya banyak kekurangan.
Jika orang ramai di pasar itu tahu kenapa Luqman al Hakim berbuat demikian, iaitu untuk mendidik anaknya berkenaan pandangan manusia lain atas apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian, adakah komen jelik sebegitu akan dilontarkan?
Sudah tentu tidak. Begitulah manusia, kita tidak mengetahui apa yang terselindung, apa yang tersembunyi, apa kisah disebalik. Apa yang biasa dilakukan hanyalah 'menghentam'.
Apabila berhadapan dengan pandangan manusia dalam menilai sesuatu, apa yang dikatakan mungkin sangat jujur. Namun hakikatnya, manusia akan berkata dengan apa yang mereka tahu dan lihat sahaja, sedangkan mungkin masih banyak perkara yang tersembunyi yang tidak diketahui dan difahami.
Justeru, kita perlu sentiasa memohon untuk melihat dengan pandangan Allah yang sentiasa benar, namun seringkali pandangan Allah itu akan dipesongkan oleh syaitan laknatullah, kerana itulah sumpah syaitan, memalingkan manusia daripada kebenaran sehingga berlakunya kiamat.
Berkatalah Luqman al Hakim kepada anakandanya selepas kisah keldai di atas :
"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu daripada percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu."
Maksud sabda Rasulullah ุตูู ุงููู ุนููู ู ุณูู :
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu `anhu, katanya: Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah ุตูู ุงููู ุนููู ู ุณูู
(boncengan), lalu baginda bersabda :
"Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul yakni bersepakat untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku."
[Hadith Riwayat Imam at-Tirmidzi]
Berhadapan dengan kehidupan, kita sememangnya dituntut untuk saling mengingati, saling nasihat menasihati antara satu sama lain. Inilah fitrah kejadian manusia yang jika kita lari daripadanya, maka ia akan merosakkan kehidupan. Lengkap melengkapi antara satu sama lain, menampungi kelemahan yang lain dengan kelebihan kita, dan mengizinkan untuk kelemahan kita ditampungi oleh kelebihan insan yang lain. Mampukah kita membuang ego yang mengatakan kita betul dalam segala hal?
Manusia tidak dijadikan Allah untuk hidup sendirian tanpa mengendahkan yang lain. Namun, dalam berkata dan menzahirkan pendapat, ia perlu datang dengan pengetahuan yang benar, barulah ia bakal membantu. Jika bicara tanpa ilmu, tidak memahami situasi dengan sebenarnya, maka apa yang diperkatakan mungkin tidak membantu bahkan merosakkan.
Maksud sabda Rasulullah ุตูู ุงููู ุนููู ู ุณูู :
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, berkatalah perkara yang baik, atau lebih baik ia diam sahaja."
[Hadith Riwayat Imam Bukhari & Muslim]
Dalam menjalani kehidupan seharian, marilah kita memohon kepada Allah agar sentiasa dibimbingNya dan bimbingan itu disekalikan dengan jalan dan cara untuk melaksanakannya.
Maksud Firman Allah ุณุจุญุงูู ูุชุนุงูู :
"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani”
[Surah Yunus : ayat 107]
Kesimpulannya, dalam kehidupan seharian, kita sering memikirkan akan kata-kata atau pandangan orang lain terhadap kita tapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, bagaimana pandangan Allah terhadap kita?
Fikir-fikirkanlah..
Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan