Masjid dan surau adalah tempat yang suci dan mulia di sisi agama Islam. Ia adalah tempat untuk kita beribadah menunaikan solat-solat fardhu secara berjemaah dan juga ibadah-ibadah sunat yang lain seperti solat nawafil, membaca al-Quran, berzikir dan mendengar kuliah-kuliah serta pengajian agama.
Bahkan fungsi masjid yang sebenar adalah lebih luas lagi sebagai pusat komuniti, perpaduan dan pembangunan ummah itu sendiri.
Sesungguhnya perjalanan terjauh dan terhebat bagi seorang lelaki adalah perjalanan ke masjid. Ini adalah kerana jarak jauhnya kita dengan masjid tidak diukur dengan langkah kaki tetapi diukur dengan hati.
Sejauh manapun masjid dan surau pasti akan dapat dijangkau sekiranya hati sudah terpaut. Namun jika hati semakin jauh daripada masjid, sedekat manapun jaraknya, terasa berat dan susah untuk melangkah dan mendaki anak-anak tangganya, walaupun kita disuruh untuk memakmurkan rumah-rumah Allah sebagai bukti keimanan kita.
Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah yang bermaksud :
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”
Menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan ibadah solat fardhu secara berjemaah pada awal waktu adalah merupakan tanggungjawab seorang lelaki muslim.
Seseorang yang istiqamah dalam melakukan ibadah solat fardhu secara berjemaah di masjid, hatinya pasti akan gelisah apabila jauh dari masjid dan berasa sedih jika tidak dapat menunaikannya di masjid. Ini kerana apabila hatinya sudah merasai kelazatan iman pastinya akan merasa gelisah jika tidak berada di masjid kerana disitu terdapat ketenangan yang tiada di tempat yang lain.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, baginda SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu daripada rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardhukan oleh Allah, maka kedua-dua langkah kakinya itu, salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat.”
[Riwayat Muslim]
Sesungguhnya banyak kelebihan beribadah di masjid dan di surau berbanding dengan beribadah di rumah. Hati kita akan merasa lebih tenang ketika berada di masjid dan jiwa akan merasa lebih kuat untuk melakukan ibadah. Apabila berada di dalam masjid, kita merasa lebih rajin untuk melakukan ibadah-ibadah sunat berbanding di rumah.
Betapa pentingnya menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid sehingga Baginda SAW memberi amaran yang keras kepada mereka yang tidak menunaikan tanggungjawab ini sebagaimana disebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan. Kemudian aku akan pergi ke setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah, lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”
[Riwayat al-Bukhari]
Cubalah mulakan dengan satu waktu solat fardhu secara berjemaah di masjid. Kemudian ditambah dengan dua waktu, tiga waktu dan seterusnya lima waktu sehari semalam.
Berusahalah untuk mendirikan solat di belakang imam sebelum kita disolatkan di hadapan imam. Janganlah menunggu waktu tua untuk mendaki anak-anak tangga masjid kerana tiada siapa yang boleh menjamin bahawa kita akan pasti dapat mencapai usia tua dalam keadaan sihat dan bertenaga.
Marilah sama-sama kita hayati beberapa tausiah dari bicara di atas untuk dijadikan pengajaran dan panduan dalam hidup ini. Diantaranya :
- Kita hendaklah meyakini bahawa semua perintah-perintah Allah dan agama hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.
- Kita wajib meyakini bahawa solat berjemaah di masjid merupakan salah satu tuntutan yang diperintahkan oleh Allah SWT.
- Kita hendaklah berlumba-lumba untuk meraih pahala dan menghapuskan dosa dengan menghadirkan diri ke masjid untuk solat berjemaah.
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”
[Ali Imran : 133]
Wallahu'alam.
#mohkomosojid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan