Astaghfirullahaladzim…
Astaghfirullahaladzim…
Astaghfirullahaladzim…
Ungkapan yang amat mudah, tetapi untuk melazimi dalam menuturkannya saban waktu amat sukar. Ini adalah ungkapan paling keramat buat kita yang bergelar PENDOSA.
Saban waktu kita tidak lari daripada melakukan dosa. Dengan rasa penyesalan sebagai sang pendosa, sentiasalah menuturkan lafaz astaghfirullahaladzim, kami memohon ampun kepada-Mu Ya Allah.
Beristighfarlah kerana Allah akan memberikan banyak kebaikan di dalamnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Barang siapa memperbanyakkan istighfar, maka akan diberi kelapangan dalam setiap kesusahan dan jalan keluar dari kesempitan. Dan dianugerahi rezeki dari jalan yang tiada disangka-sangka.”
(Hadith Riwayat Abu Dawud dan Nasa’i).
Bacalah ia dengan hati dan merasai sehingga ke dalam jiwa kita. Pasti Allah akan memudahkan segala urusan kita.
Jika kita rasa tersepit dengan ujian, pohonlah ampun kepada Allah. Kelak Allah memberi kita jalan keluar untuk sesuatu penyelesaian dan Allah akan memberikan kita rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka. Ajaib bukan kuasa istighfar?
Bukan itu sahaja malahan tika tibanya musim panas dan kemarau, dan kita sangat mendambakan hujan turun, pasti kita akan terus merungut-rungut marah kerana panas yang berpanjangan walhal formulanya mudah sahaja, Allah hanya meminta kita untuk memohon ampun kepada-Nya.
Seperti firman-Nya di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. Sekiranya kamu berbuat demikian, Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai yang mengalir.”
[Surah Nuh : ayat 10 - 12]
Jelas, pengasih dan penyayangnya Allah, tatkala kita memohon ampun kepada-Nya, bukan sahaja hujan yang diturunkan, malah dikurniakan pula kita banyaknya harta, dianugerahkan pula kita rezeki anak-pinak serta diberikan kita keindahan syurga.
Tidak kiralah berapa banyaknya dosa kita, menggunung tinggi atau seluas lautan sekali pun dosa kita yang telah kita lakukan, Allah akan sentiasa menanti dan menerima taubat hamba-hamba-Nya.
Istighfar sahaja, mudah bukan? Jangan terlalu ikutkan rasa beratnya hati. Lafazkan sahaja, kemudian tekadkan di dalam hati untuk meninggalkan segala perbuatan dosa.
Boleh jadi dengan ungkapan taubat dan istighfar saban waktu, menjadikan kita hamba Allah yang membenci dengan perlakuan-perlakuan dosa.
Marilah kita menjadikan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan ikutan yang baik. Baginda walaupun maksum dan sudah pun diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan akan datang tetapi Baginda tetap melazimi istiqamah melakukan taubat lebih daripada 70 kali sehari.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata yang bermaksud :
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah! Sesungguhnya aku memohon keampunan daripada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada 70 kali.”
(Riwayat Al-Bukhari)
Kita punya Tuhan yang penuh dengan sifat kasih sayang ke atas hamba-hamba-Nya. Masakan kita akan terus hanyut dengan dosa tanpa rasa bersalah dan ingin bertaubat?
Hebatnya kuasa istighfar, jika kita membacanya dan merasainya dengan hati, kelak Allah akan memberikan cahaya-Nya di akhirat kelak.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuha (taubat yang sebenar-benarnya). Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman yang bersama-sama dengannya; cahaya iman dan soleh mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka semasa mereka berjalan, mereka berkata ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita : Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
[Surah at-Tahrim: ayat 8]
Sesungguhnya maksiat yang kita lakukan akan meninggalkan tompok hitam dalam hati kita dan akan menjadikan kehidupan kita kelam dan tidak tenteram.
Sedangkan istighfar akan membersihkan kembali noda hitam yang bersarang di dalam hati dan juga memberi cahaya dalam perjalanan kita. Istighfarlah sehingga hati kita benar-benar telah kuat.
Setelah itu bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh. Mintalah kepada Allah supaya menguatkan azam kita untuk terus kekal melazimi istifghfar dan taubat.
Taubat dan istighfar adalah merupakan ekspresi sifat kehambaan dan ketaqwaan di dalam diri setiap mereka yang bergelar hamba Allah. Sebaik-baik muhasabah adalah dengan perbanyakkan istighfar.
Sudahkah kita beristighfar dan bertaubat hari ini? Jika belum, ucapkanlah "astaghfirullahaladzim wa atubu ilaih" dengan penuh rasa cinta dan penyesalan.
Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan