MARDHATILLAH | BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL | BINA SYURGA DI RUMAH, BINA RUMAH DI SYURGA | SEKIRANYA KITA AHLI KARIAH TIDAK IMARAHKAN MASJID KITA, SIAPA LAGI.. KAN? ๐Ÿ•Œ #mardhatillah #sayangimasjidkita๐Ÿ’– #kitajagakita๐Ÿค#mohkomosojid ๐Ÿšถ๐Ÿšฒ๐Ÿ›ต๐Ÿš—...
Bookmark Blog Masjid Warisan Kariah Geylang!
KEMASKINI BLOG : AHAD 10 NOVEMBER 2024 07:05

Jumaat, 24 November 2023

Moh Ko Mosojid



KEAGUNGAN dan kemuliaan masjid digambarkan secara jelas oleh Rasulullah SAW melalui perbuatan. Banyak peristiwa dapat dikaitkan dengan kecintaan Baginda terhadap tempat suci bagi umat Islam ini.

Justeru, pengakuan mencintai Rasulullah SAW perlu dizahirkan dengan meneladani dan mengikuti ajaran Nabi antaranya sentiasa mempertingkatkan amalan mengimarahkan masjid.

Terdapat pelbagai keistimewaan bagi umat Islam yang hatinya sentiasa terikat dan rindu untuk berada di masjid.

Antaranya, dalam hadis riwayat Bukhari, mereka yang hadir ke masjid akan mendapat pahala solat berjemaah yang kelebihannya adalah memperoleh 27 darjat berbanding solat sendirian.

Ketika solat berjemaah, apabila Imam selesai membaca surah al-Fatihah, lalu menyebut 'amin' bersama makmum, lafaz itu bertepatan dengan 'amin' malaikat, maka dosa mereka akan diampunkan oleh Allah SWT.

Turut digalakkan adalah mengalunkan zikir beramai-ramai sejurus melaksanakan solat berjemaah.

Dalam hadis riwayat Tirmizi menyatakan majlis zikir adalah satu taman syurga. Begitu juga dalam periwayatan Muslim ada menyebut, Allah SWT akan menurunkan rahmat dan ketenangan ke atas mereka yang berzikir secara beramai-ramai.

Maksud hati terikat kepada masjid itu bukan sekadar sentiasa duduk atau meluangkan masa yang lama di masjid. Malah maksud lain terikat hati pada masjid ialah mereka yang sentiasa mengunjungi masjid dan walaupun ketika di luar masjid, hatinya tetap mengingati rumah Allah tersebut.

Menurut tafsiran Imam Nawawi, maksud terikat itu adalah terlalu cinta kepada masjid dengan melazimi solat berjemaah di masjid.

Pengimarahan masjid secara menyeluruh dilakukan sejak zaman berzaman oleh Rasulullah SAW dan sahabat.

Dalam peristiwa penghijrahan ke Madinah, ketika Baginda SAW pertama kali sampai ke Quba', Nabi membina sebuah masjid. Selain itu, dalam keadaan bermusafir, Baginda menyediakan tempat khusus untuk solat bersama sahabat seperti dilaksanakan ketika peperangan Khaibar.

Sehingga detik selepas kewafatan Nabi, sahabat terus memuliakan masjid. Pernah suatu ketika, Umar al-Khattab memerintahkan penguasa di bawah jajahannya membina masjid bagi setiap negeri dan daerah.

Dalam surah at-Taubah ayat 18, Allah menyatakan bahawa ahli masjid adalah mereka yang dilindungi dan sentiasa mendapat hidayahNya. Firman Allah yang bermaksud :

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk".

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ๏ทบ menyifatkan bahawa lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid itu akan mendapat naungan di sisi Allah SWT pada hari yang tiada naungan di akhirat kelak.

Wallahu'alam.

#mohkomosojid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PESAN ABAH

Abah, Ayah, Bapa, Papa, Walid dan apa sahaja gelaran untuk seorang lelaki yang berhempas-pulas membanting tulang empat kerat untuk si anak, ...