MARDHATILLAH | BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL | BINA SYURGA DI RUMAH, BINA RUMAH DI SYURGA | SEKIRANYA KITA AHLI KARIAH TIDAK IMARAHKAN MASJID KITA, SIAPA LAGI.. KAN? ๐Ÿ•Œ #mardhatillah #sayangimasjidkita๐Ÿ’– #kitajagakita๐Ÿค#mohkomosojid ๐Ÿšถ๐Ÿšฒ๐Ÿ›ต๐Ÿš—...
Bookmark Blog Masjid Warisan Kariah Geylang!
KEMASKINI BLOG : RABU 16 OKTOBER 2024 16:05

Rabu, 15 November 2023

Dari Buaian Hingga Ke Liang Lahad



ILMU merupakan perkara yang penting bagi setiap individu terutama untuk umat Islam bagi mencapai kesejahteraan di dunia mahupun akhirat.

Allah SWT mewajibkan seluruh umat Islam untuk belajar sebagaimana firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 122 yang bermaksud:

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)."

Nabi Muhammad SAW menerusi riwayat al-Imam Ibnu Majjah turut bersabda yang bermaksud:

"Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin."

Dalil-dalil ini jelas menuntut umat Islam untuk mencari ilmu tanpa mengira batas usia kerana setiap detik wajar diluangkan untuk mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat, sama ada ilmu untuk kebahagiaan di dunia mahupun kebahagiaan di akhirat.

Maka tidak hairanlah mengapa individu yang beramal namun tidak mempunyai ilmu diibaratkan seperti pohon yang rimbun tetapi tidak berbuah.

Justeru, penting untuk seseorang berguru dan menuntut ilmu bagi mendapatkan pengetahuan yang betul agar amal kebajikan dapat disempurnakan dengan baik.

Selain itu, Al-Quran turut menjelaskan terdapat perbezaan antara orang yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu.

Allah SWT meletakkan kedudukan orang berilmu lebih tinggi dan mulia di sisi-Nya. Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran yang secara jelas menyatakan kelebihan orang yang berilmu daripada yang lainnya.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah maha mendalam pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan."
(Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:

"Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna."
(Surah az-Zumar, ayat 9)

Rasulullah SAW turut menyatakan bahawa darjat orang yang berilmu lebih mulia daripada orang yang tidak memiliki ilmu.

"Sesiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga dan para malaikat akan merendahkan sayapnya memayungi penuntut ilmu serta semua penghuni bumi dan langit dan ikan dalam lautan, semuanya memohon keampunan buat mereka dan sesungguhnya keutamaan darjat seorang 'alim (ahli ilmu) ke atas seorang 'abid (ahli ibadah) seperti keutamaan bulan purnama berbanding bintang-bintang."
(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Tanpa ragu-ragu lagi, ilmu serta ahlinya mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Usaha memperoleh kemudahan menuju ke syurga-Nya dan mendapat doa keampunan daripada makhluk-Nya adalah antara ganjaran besar khusus untuk mereka yang berada dalam kelompok ahli ilmu atau dalam usaha untuk menuntut ilmu.

Ketinggian martabat ahli ilmu berbanding ahli ibadah turut memberi gambaran yang amat jelas bahawa segala amal ibadat akan menjadi sia-sia sekiranya dilaksanakan tanpa ilmu.

Perbezaan ini dapat dilihat dari tindak tanduk seseorang dalam kehidupan seharian yang mana sifat orang yang berilmu adalah seperti padi, makin berilmu semakin merunduk.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqaan ayat 63 yang bermaksud:

"Hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik."

Sesungguhnya proses pembelajaran itu adalah suatu proses yang berterusan bermula sedari dalam buaian sehinggalah ke liang lahad.

Wallahu'alam.

#mohkomosojid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PESAN ABAH

Abah, Ayah, Bapa, Papa, Walid dan apa sahaja gelaran untuk seorang lelaki yang berhempas-pulas membanting tulang empat kerat untuk si anak, ...