MUNGKIN kita pernah mendengar hadis tentang segolongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari kiamat. Namun, siapakah golongan yang dimaksudkan itu? Pasti kita tertanya-tanya apakah amalan yang menyebabkan mereka mendapat naungan Allah SWT itu. Mari kita merenung sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, pemuda yang menyibukkan dirinya beribadah kepada Allah SWT, seorang yang hatinya selalu terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisahnya kerana Allah, seseorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang kaya dan cantik, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘aku takut kepada Allah’. Seseorang yang bersedekah dengan secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta seorang yang berzikir mengingati Allah dikala sendiri hingga mengalir air matanya.”
(Sahih Bukhari, Hadis No 620)
Dalam hadis tersebut menceritakan terdapat tujuh golongan yang mendapat naungan Allah. Naungan Allah disini bermaksud naungan dari Arasy Tuhannya, atau boleh ditafsirkan sebagai kinayah iaitu dalam lindungan Allah dan ditempatkan di tempat yang dimuliakan.
Tujuh golongan tersebut adalah :
Pertama: Pemimpin yang adil.
Pemimpin di sini ialah seorang yang diberi tanggungjawab yang diamanahkan dengan amanah beserta adil, contohnya Ketua Negara, Presiden, Ketua Kampung mahupun ketua keluarga. Dalam hadis, Rasulullah besabda: “Setiap daripada kamu adalah ketua, dan setiap daripada kamu akan dipersoalkan apa yang telah dipertanggungjawabkannya”. Oleh itu, setiap pemimpin haruslah melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil kerana setiap apa yang diamanahkan akan ditanya dihadapan Allah SWT kelak.
Kedua: Pemuda yang hidup dalam beribadah.
Usia muda sangatlah berharga bagi seorang yang bergelar manusia. Pada zaman yang serba mencabar inilah yang menguji tahap keimanan dan kesabaran kita. Hanya mereka yang kuat imannya sahaja yang mampu mengharunginya. Sebagaimana kisah 7 orang pemuda (Ashabul Kahfi) yang Allah selamatkan mereka dari penguasa yang zalim dalam mentauhidkan Allah.
Ketiga: Seseorang yang hatinya terikat dengan masjid.
Seseorang yang istiqamah dalam melakukan ibadah fardhu secara berjemaah di masjid, hatinya pasti akan gelisah apabila jauh dari masjid dan berasa sedih jika tidak dapat menunaikannya di masjid. Ini kerana apabila hatinya sudah merasai kelazatan iman pastinya akan merasa gelisah jika tidak berada dimasjid kerana disitu terdapat ketenangan yang tiada di tempat yang lain.
Keempat: Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah.
Golongan yang keempat ini adalah tahap tingkatan iman yang tertinggi dimana mereka saling menjaga hubungan mereka dengan Allah. Bertemu mereka dengan asbab dalam mengingati pencipta dan berpisahnya mereka juga dalam zikir mengingati Allah. Mereka ini selamat dari fitnah pada hari kiamat kelak.
Kelima: Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan yang kaya dan cantik tetapi ia menolaknya dan berkata, “aku takut kepada Allah”.
Golongan kelima ini adalah mereka yang mempunyai tahap keimanan yang teguh yang menjaga imannya dari tercemar. Sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran mengenai perihal nabi Yusuf AS ketika mana didatangi Zulaikha untuk menggodanya melakukan maksiat. Nabi Yusuf yang ingin menjaga kehormatan dirinya rela dirinya dipenjara dari melakukan maksiat kepada Tuhannya. Berbahagialah mereka yang dapat memelihara dirinya dari melakukan maksiat kepada Allah kerana Allah telah menjanjikan balasan syurga bagi mereka.
Keenam: Seseorang yang bersedekah dengan sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya.
Antara kelebihan sedekah adalah dibukakan oleh Allah SWT akan pintu rezeki kepadanya dan dihapuskan dosanya. Sedekah secara sembunyi “sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya” adalah mereka yang bersedekah dengan ikhlas hati sehingga tiada yang mengetahui apa yang diinfaqkannya. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi, marilah sama-sama kita perbanyakkan bersedekah kerana pahala ganjarannya akan dilipat gandakan.
Ketujuh: Seseorang yang berzikir mengingati Allah ketika bersendirian sehingga mengalirkan air matanya.
Mengingati Allah sehingga mengalirkan air mata keinsafan adalah sesuatu yang amat sukar, melainkan bagi mereka yang sentiasa dalam hidayah dan petunjuknya. Antara ciri-ciri orang yang teguh imannya adalah, mereka yang ketika mana mendengar nama Allah maka bergetarlah hati mereka dan bertambahnya iman mereka. Dengan mengingati Allah juga hati kita akan takut untuk melakukan maksiat. Mereka yang sentiasa berzikir mengingati Allah akan lebih tenang jiwanya.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran :
الَّذِینَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِآْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِآْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya : “Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati-hati menjadi tenang tenteram".
(Surah Al-Ra’du: Ayat 28)
Kesimpulannya, sebagai seorang hamba yang banyak melakukan dosa kekhilafan, marilah kita bersama-sama mengambil ibrah atau pengajaran daripada hadis di atas. Diharap kita semua termasuk dalam salah seorang daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari kiamat kelak kerana pastinya naungan Allah sahajalah yang didambakan oleh setiap hamba-Nya dan dapat menyelamatkan diri kita daripada pedihnya hari perhitungan. Amin Ya Rabbal Alamin.
Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan