Jika mengimbau kembali puluhan tahun yang lalu, sudah menjadi tradisi umat Islam di Malaysia apabila tibanya 10 Muharram, maka kebanyakan dari Ahli Jawatankuasa masjid dan surau bertungkus lumus membuat persiapan untuk menyediakan juadah khusus yang memang terkenal iaitu Bubur Asyura untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.
Itulah antara adat atau tradisi yang baik yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia bahkan tradisi ini masih wujud sehingga ke hari ini disamping melakukan amal ibadah khusus yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW iaitu berpuasa.
Adakah puasa yang dilakukan oleh umat Islam pada 10 Muharram merupakan adat tradisi atau sebaliknya? Ini Kerana ada juga di antara umat Islam yang menganggap ibadah puasa sunat pada hari tersebut sengaja diada-adakan dan tidak ada dalam Islam. Malang sekali, kerana ada segelintir dalam kalangan umat Islam di Malaysia telah membawa masuk ajaran menyeleweng syiah ketika sambutan 10 Muharram dengan memukul-mukul dada sambil mengalunkan lagu-lagu dengan senikata untuk memperingati seseorang yang telah meninggal dunia, kononnya untuk mengenang kembali peristiwa Karbala.
Jika ditinjau lebih jauh, terdapat umat Islam di beberapa negara Asia Barat yang menyambut hari ‘Asyura’ (10 Muharram) dengan memukul-mukul badan-badan mereka dengan menggunakan senjata tajam seperti pedang, pisau dan alatan lain sehingga luka dan mendatangkan kecederaan yang parah. Malah kanak-kanak dan bayi kecil yang tidak tahu apa-apa turut menjadi mangsa kerakusan ajaran yang jauh tersimpang dari landasan Islam yang sebenar.
Adakah amal perbuatan sebegini dianjurkan oleh Islam? Sedangkan Islam adalah agama Rahmatan Lil A’lamin (rahmat bagi sekelian alam) yang melarang umatnya daripada membinasakan dan mencederakan diri sendiri demi mendapatkan ganjaran dan keredhaan serta rahmat dari Allah SWT.
Mengimbau semula sejarah 10 Muharram yang dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah SAW adalah penting bagi mencari kebenaran dan merungkai keraguan ummah seterusnya memastikan amalan yang dilakukan oleh umat Islam hari ini bertepatan dengan kehendak syariat Islam dan menjauhi perkara atau amalan yang sengaja diada-adakan.
Salah satu daripadanya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, lalu Baginda bertanya: Apakah ini?. Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa Lalu Baginda SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)
Selain itu terdapat sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada oleh Syaidatina Aisyah RA bermaksud; “Hari ‘Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah S.A.W juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, baginda bersabda mafhumnya: Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa ‘Asyura)”. (Riwayat: al-Bukhari dan Muslim)
Inilah di antara contoh hadis-hadis sahih yang menyebut tentang amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram). Dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura’ merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan. Apabila puasa Ramadhan difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ia tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.
Malahan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram) mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda: “Puasa hari ‘Asyura’ itu; sesungguhnya Aku bermohon kepada Allah agar dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.” (Riwayat: al-Tirmizi).
Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ atau 10 Muharram merupakan sunnah Nabi SAW. Rasulullah SAW tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh merosakkan dan membinasakan diri, apatah lagi menganjurkan kepada umatnya untuk melakukan sedemikian. Ternyata amalan atau perbuatan melukai diri dan memukul dada serta perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan orang lain, bukanlah datangnya daripada sunnah Rasulullah SAW. Sebaliknya, ia adalah amalan yang menyesatkan. Sekiranya ada amalan sebegini daripada Rasulullah SAW, maka adalah lebih afdal Rasulullah SAW meminta para sahabatnya untuk mengingati para syuhada yang mati syahid dalam peperangan Badar, Uhud dan peperangan lain. Contohnya, Saidina Hamzah RA yang digelar Asadullah (Singa Allah), yang syahid dalam peperangan Uhud. Mengapa tidak ditemui hadis-hadis yang menganjurkan amalan sedemikian jika itulah kebenarannya seperti yang dilakukan oleh segelintir umat Islam hari ini ketika tibanya hari ke sepuluh dalam bulan Muharram?
Ternyata jika umat Islam tidak berpegang teguh dengan Al-Quran dan Al-Sunnah, maka mudahlah mereka hanyut mengikut jalan-jalan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia dari jalan kebenaran. Tidak ketinggalan juga ada di antara umat Islam yang menolak Hadis dan sekaligus menolak amalan berpuasa dan kelebihan yang ada pada hari kesepuluh dalam bulan Muharram kononnya kerana ia tidak terdapat dalam al-Quran.
Justeru, umat Islam hendaklah kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar. Ibubapa hendaklah memainkan peranan untuk memastikan anak-anak mereka mendapat didikan agama yang sempurna agar menjadi benteng daripada pengaruh ajaran dan pemikiran sesat khususnya di Malaysia. Sama-samalah kita mencari keberkatan dengan berpuasa sunat bukan sahaja pada 10 Muharram tetapi dianjurkan juga berpuasa pada 9 Muharram berdasarkan hadis:
“Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! ‘Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah SAW telah wafat”. (Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati umat Islam dengan amalan-amalan yang diredhai-Nya dan menjauhkan dari perkara-perkara yang menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.
Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan