Berhubung dengan pengimarahan masjid, para ulama ada membincangkannya. Sebelum dibincangkan lanjut tentang hal ini, eloklah dilihat maksud mengimarahkan masjid.
Dalam kitab Fatwa al-Azhar disebutkan makna imarah masjid iaitu membinanya, membersihkannya, memberi perkhidmatan kepadanya selain daripada tujuan ibadat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 36:
فى بيوت أذن الله أن ترفع ويذكر فيها اسمه
Maksudnya :
“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya.”
Syarat utama pengimarahan masjid ialah orang yang terlibat mestilah orang Islam. Orang kafir tidak boleh mengimarahkan masjid dan tidak akan diterima oleh Allah. Masyarakat Arab Jahiliyyah sebelum Islam mengimarahkan al-Masjid al-Haram dengan memberi khidmat, memberi minum kepada jemaah haji dan mereka yakin mereka melaksanakan tugas besar, walhal apa yang mereka lakukan hanyalah imarah dari sudut binaan dan fizikal luaran sahaja. Mereka tidak mengimarahkan dari sudut roh dan tujuan masjid dibina iaitu untuk menyembah Allah dan tidak melakukan syirik.
Sebab itu Allah berfirman dalam surah al-Taubah ayat 19 :
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الاخر وجاهد فى سبيل الله لا يستوون عند الله واللّه لا يهدى القوم الظالمين
“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan al-Masjid al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”
Mengimarahkan masjid berlaku apabila seseorang mukmin berulang alik ke masjid, mendirikan solat jemaah, iktikaf dan terlibat dengan kegiatan dakwah, ceramah, kuliah dan seumpamanya.
Inilah yang difirmankan Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 18 :
إنما يعمر مساجد الله من امن باللّه واليوم الآخر وأقام الصلاة وآتى الزكاة ولم يخش إلا الله فعسى أولئك أن يكونوا من المهتدين
“Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
Oleh itu, imarah masjid itu bukan setakat mentadbirnya sahaja, tetapi lebih kepada menghidupkan masjid dengan tujuan menyerlahkan syiar Islam.
Di masjid, umat Islam menemukan ketenangan hidup dan penyucian jiwa kerana di sana terdapat majlis-majlis yang bermanfaat. Dengan itu, masjid bagi umat Islam adalah institusi paling penting dalam membina masyarakat yang terbilang, cemerlang dan gemilang dari sudut akhlak dan pekertinya.
Di masjid juga akan timbul rasa kesatuan. Di masjid, semua masyarakat bertemu berkeadaan darjat yang sama kerana Allah SWT tidak memandang akan darjat satu-satu masyarakat di atas dunia ini selain nilai takwa yang ada pada mereka. Sememangnya bagi Allah SWT yang paling terhormat dan termulia di antara hamba-hamba-Nya adalah mereka yang paling bertakwa di antara mereka.
Dalam upacara keagamaan, masjid berfungsi sebagai tempat mendirikan solat, yang mana di dalam hadith disebutkan ia sebagai tiang agama, baik solat fardhu mahupun solat sunat.
Firman Allah SWT :
يُسَبِّحُ لَهُۥ فِيهَا بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ رِجَالٞ لَّا تُلۡهِيهِمۡ تِجَٰرَةٞ وَلَا بَيۡعٌ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ يَخَافُونَ يَوۡمٗا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلۡقُلُوبُ وَٱلۡأَبۡصَٰرُ
“Bertasbih kepada Allah di dalamnya pada waktu pagi dan waktu petang, lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual belinya daripada mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang mana (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.”
(Surah al-Nur: 36-37)
Selain fungsi ibadat, masjid juga memiliki fungsi sosial. Di masjid dapat dilangsungkan proses pendidikan atau tarbiyyah dalam bidang tafsir, hadith, fiqh, tajwid dan sebagainya.
Masjid pada semasa hidupnya Baginda Junjungan SAW merupakan pusat berbagai-bagai aktiviti. Sejarah mencatat bahawa peranan yang telah dimainkan oleh masjid pada zaman Nabi ialah ia menjadi tempat motivasi dan komunikasi mengenai masalah ekonomi, sosial dan budaya, tempat latihan ketenteraan dan persiapan alat-alatannya, tempat pengubatan para pejuang Islam, tempat perdamaian dan pengadilan, tempat menerima tetamu, tempat menahan tawanan dan pusat penerangan tentang agama.
Umat Islam yang memanfaatkan fungsi masjid ini sebagai tempat ibadat dan aktiviti sosial, merekalah yang mampu memberi impak kemaslahatan kepada masyarakat di samping mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
Salah satu bentuk ganjaran itu dijelaskan dalam sabda Nabi SAW :
مَا مِنْ أَحَدٍ يَغْدُو أَوْ يَرُوحُ إِلَى الْمَسْجِدِ وَيُؤْثِرُهُ عَلَى مَا سِوَاهُ، إِلَّا وَلَهُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى نُزُلٌ يُعِدُّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
“Siapa sahaja yang pergi ke masjid atau pulang dari masjid dan mendahulukan amalan itu daripada perkara lain, maka Allah SWT akan menyediakan untuknya jamuan daripada dalam syurga setiap kali dia pergi dan pulang itu.”
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Cara yang terbaik mengajak orang ramai mengimarahkan masjid selain melalui kuliah-kuliah ialah pemimpin-pemimpin masyarakat seperti ahli jawatankuasa masjid, ahli jawatankuasa kampung, ahli-ahli persatuan, wakil-wakil rakyat dan seumpamanya turut sama mengimarahkan masjid. Dengan itu mereka akan jadi ikutan anggota masyarakat dalam mengimarahkan masjid.
Ini berdasarkan kaedah :
الناس على دين ملوكهم
“Orang ramai akan mengikut cara dan jejak langkah pemimpin mereka.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan