Hanya mereka yang pernah menguruskan jenazah kenalan atau keluarga sendiri yang tahu betapa pentingnya khairat kematian. Dengan wang khairat kematian, ianya dapat melicinkan proses pengurusan jenazah daripada urusan di masjid atau surau hinggalah ke liang lahad.
Walaupun anggaran kos untuk menguruskan jenazah ini tidaklah terlalu tinggi, tetapi dengan adanya wang khairat kematian, ianya akan sangat memudahkan urusan waris.
Bahkan kos pengurusan jenazah boleh jadi tidak sampai RM1,000 pun jika di kampung.
- Kos bagi upah memandikan jenazah;
- Kos bagi pembelian kit barangan pengurusan jenazah;
- Kos bagi pengangkutan jenazah dari rumah ke masjid ke tanah perkuburan;
- Kos bagi pembelian papan sendeng; dan
- Kos bagi upah penggali kubur, teraju / liang lahad.
Bagi hampir kebanyakan orang, nilai RM1,000 tersebut tidaklah banyak. Walau bagaimanapun, semua kos-kos ini memerlukan kepada wang tunai segera. Perlu ada dan sedia digunakan sejurus selepas berlaku kematian. Ini akan mempercepatkan proses menguruskan jenazah tersebut.
Ini kerana menyegerakan pengurusan jenazah adalah perkara yang disunnahkan dalam Islam. Tidak elok melambat-lambatkan urusan pengkebumian jenazah.
Nabi Muhammad SAW bersabda :
“Segerakanlah jenazah. Jika ia jenazah yang baik, maka ia satu kebaikan yang kamu percepatkan untuknya. Kalau ia jenazah yang tidak sebegitu (yakni tidak baik), maka ia merupakan satu keburukan yang kamu letakkan daripada tengkuk-tengkuk kamu (iaitu kamu tidak perlu lagi mengiringi suatu yang tidak ada kebaikan).
(Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, dalam banyak-banyak institusi yang kita sebagai waris berhasrat menuntut wang khairat kematian, institusi masjid kariah kita sendiri lah yang paling cepat dan efisien pelaksanaannya.
Tidak perlu isi borang hantar ke pejabat dan macam-macam birokrasi lain.
Bila berlaku kematian dalam keluarga kita, beritahu saja orang masjid, ahli jawatankuasa masjid akan terus siapkan semua kelengkapan urusan jenazah; daripada alatan pemandian, kain kafan, keranda sehinggalah kepada penghantaran jenazah dan pengkebumian.
Semuanya menggunakan duit khairat kematian dari tabung khairat masjid. Mereka sediakan semuanya.
Mudah urusan kita sebagai waris, tidak perlu buat macam-macam permohonan untuk tuntutan duit khairat kematian.
Jadi sebab itu lah kena pastikan kita membayar yuran khairat kematian masjid kariah kita. Tidak mahal mana pun. Sangat murah dan tidak membebankan.
Satu lagi jangan lupa bergaul dengan orang masjid. Bagi kaum lelaki, jangan sekadar datang masjid hari Jumaat saja, cuba lazimi solat fardhu berjemaah di masjid pada setiap hari.
Bagi orang masjid kenal muka kita. Takkanlah bila ada kematian baru nak cari dan minta tolong orang masjid. Kan?
Jom imarahkan sojid kito!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan