
Alam barzakh sering digambarkan sebagai tempat yang sunyi dan tenang apabila kita memandang tanah perkuburan sedangkan disebalik kesunyian itu bermulalah satu fasa kehidupan baharu yang sangat menegangkan bagi setiap insan yang telah kembali kepada Allah SWT.
Pernahkah kita terfikir, apa sebenarnya berlaku sebaik sahaja jenazah ditanam dan semua orang telah pulang meninggalkan tanah perkuburan?
Alam Barzakh: Taman Syurga Atau Lubang Neraka
Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai hakikat sebenar alam barzakh yang menanti setiap insan :
الْقَبْرُ إِمَّا رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ أَوْ حُفْرَةٌ مِنْ حُفَرِ النَّارِ
Maksudnya : “Kubur itu sama ada taman dari taman-taman syurga, atau lubang dari lubang-lubang neraka.” (Riwayat At-Tirmizi)
Hadis ini menjelaskan bahawa di bawah tanah terdapat dua kemungkinan besar sama ada seseorang itu akan menerima nikmat atau sebaliknya menerima azab.
Bayangkan, Rasulullah SAW sendiri sebagai insan paling mulia yang telah dijamin masuk syurga tetap berdoa memohon perlindungan daripada azab kubur.
Sekiranya Nabi SAW sendiri berasa perlu berdoa sebegitu bagaimana pula dengan kita yang penuh dengan dosa dan kelalaian?
Empat Perkara Berlaku Malam Pertama Di Alam Barzakh
Malam pertama di alam barzakh bukanlah sesuatu yang tenang sebaliknya penuh dengan ketegangan dan kesunyian yang mencekam.
Berikut adalah empat perkara utama yang bakal berlaku :
1. Disoal Oleh Malaikat Munkar Dan Nakir
Sebaik sahaja jenazah ditanam dan semua orang pulang, dua malaikat bernama Munkar dan Nakir akan datang untuk menyoal beberapa persoalan asas iaitu siapa Tuhan, apa agama dan siapa lelaki yang diutuskan sebagai Rasul kepada mereka.
Sekiranya si mati seorang mukmin, dia akan menjawab dengan yakin:
“Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan Rasul-Nya,” dan ketika itu tempat duduknya daripada neraka akan ditukar kepada syurga.
Namun sekiranya si mati adalah golongan munafik atau kafir, dia hanya mampu menjawab :
“Aku tak tahu, aku hanya kata seperti apa yang orang ramai kata di dunia dahulu.”
Dia akan dipukul dengan pemukul daripada besi sehingga menjerit kesakitan dan jeritan itu dapat didengari oleh semua makhluk kecuali jin dan manusia.
2. Himpitan Kubur Yang Tidak Dapat Dielakkan
Setiap insan yang memasuki alam barzakh akan mengalami himpitan kubur tanpa mengira status atau kedudukannya semasa hidup.
Rasulullah SAW bersabda :
لَوْ كَانَ أَحَدٌ نَاجِيًا مِنْ ضَمَّةِ الْقَبْرِ لَنَجَا مِنْهَا سَعْدُ بْنُ مُعَاذٍ
Maksudnya: “Jika ada orang yang akan selamat daripada himpitan kubur, nescaya Sa’ad bin Mu’az lah orangnya.” (Riwayat Ahmad)
Sa’ad bin Mu’az merupakan seorang sahabat Nabi yang hebat sehingga 70,000 malaikat turun mengiringi jenazahnya namun beliau tetap mengalami himpitan kubur.
Bezanya, orang beriman akan merasai himpitan tersebut seperti pelukan manja seorang ibu, manakala mereka yang banyak dosa pula akan mengalami himpitan yang boleh meremukkan tulang.
3. Teman Setia Di Alam Barzakh
Setiap insan tidak akan bersendirian sepenuhnya di alam barzakh kerana akan ada “peneman” yang turut masuk bersama ke dalam kubur.
Sekiranya seseorang itu banyak beramal soleh semasa hidupnya akan datang satu makhluk berupa cantik, wangi dan menenangkan yang akan menemaninya sehingga hari kiamat.
Namun sekiranya amalnya penuh dengan noda dan dosa akan datang pula “peneman” yang busuk, hodoh dan menakutkan.
Makhluk tersebut sebenarnya merupakan jelmaan daripada amalan seseorang itu sendiri semasa hidup di dunia.
4. Diperlihatkan Tempat Sebenar Di Akhirat
Berbeza dengan urusan dunia di mana kita boleh melihat rumah melalui platform digital, di alam barzakh, setiap insan akan ditunjukkan “rumah akhirat” mereka yang sebenar.
Rasulullah SAW bersabda :
إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ
Maksudnya : “Apabila seseorang mati, diperlihatkan tempatnya (samada syurga atau neraka) pada waktu pagi dan petang.” (Riwayat Muslim)
Setiap pagi dan petang insan tersebut akan diperlihatkan destinasi sebenar mereka.
Sama ada syurga penuh nikmat bagi golongan beriman atau neraka yang menjadi deraan mental berterusan bagi golongan yang ingkar.
Persediaan Yang Perlu Dilakukan Sebelum Alam Barzakh
Alam barzakh bukanlah sekadar cerita dongeng sebaliknya ia merupakan pintu pertama menuju akhirat yang pasti akan dilalui oleh setiap insan.
Ketika berada di sana, harta tidak lagi laku, rakan-rakan tidak mampu membantu dan hanya amalan sahaja yang menjadi penyelamat sebenar.
Sekiranya Rasulullah SAW sendiri berdoa memohon perlindungan daripada azab kubur dan Saidina Uthman RA menangis sehingga membasahi janggutnya setiap kali melihat kubur, bagaimana pula dengan kita?
Berikut adalah beberapa langkah kecil yang boleh mula diamalkan sebagai persediaan menghadapi alam barzakh :
- Sempurnakan solat dan pastikan segala kewajipan lain turut diselesaikan.
- Jaga lidah daripada percakapan sia-sia dan menyakiti hati orang lain.
- Jauhi apa yang haram daripada menjadi gaya hidup seharian.
- Tinggalkan perkara syubhah yang boleh membawa keraguan dalam ibadah.
- Perbanyakkan taubat kepada Allah SWT atas segala kesalahan lalu.
- Baca doa perlindungan daripada azab kubur setiap hari :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur.”
Sebagai penutup, alam barzakh merupakan realiti yang pasti akan dihadapi oleh setiap insan tanpa terkecuali dan empat perkara yang telah dibincangkan ini sepatutnya menjadi peringatan penting untuk kita mula bersedia dari sekarang.
Semoga malam pertama kita di alam barzakh kelak bukanlah malam yang penuh azab dan penyesalan sebaliknya menjadi malam yang tenang dan penuh dengan rahmat daripada Allah SWT hasil daripada amalan baik yang telah kita usahakan sepanjang hayat di dunia ini.
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan