Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya.”
(Surah al-Naziat: 40-41)
TIDAK ada jalan mudah menjadi baik kerana tidak ada jalan pintas untuk menghuni syurga Allah SWT melainkan perlu berdepan dengan pengorbanan dan kesulitan. Justeru, antara ciri untuk menjadi manusia yang baik di sisi Allah perlulah berjuang melawan godaan tuntutan hawa nafsu.
Melalui rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan di radio IKIMfm setiap hari Rabu, 10:30 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi mengupas tentang kepentingan nilai mujahadah iaitu melawan hawa nafsu yang boleh menjerumuskan manusia kepada perbuatan yang bertentangan dengan nilai kebaikan.
Memahami makna mujahadah akan mendorong seseorang mukmin untuk sentiasa istiqamah dalam mendapat motivasi diri untuk terus berusaha memperbaiki diri seterusnya beriktiar melakukan segala perkara yang baik yang diperintah Allah SWT dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan dimurkai-Nya.
Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu. Istilah “mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul.
Memetik kata-kata Imam al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada keinginan nafsunya sama ada dalam aspek zahir atau batin.”
Imam As-Suyuti berkata: “Imam Al-Khatib meriwayatkannya daripada hadis Jabir lalu berkata “Nabi SAW telah datang daripada sebuah perang bagi mereka lalu Baginda SAW bersabda yang bermaksud “Kamu semua telah datang daripada tempat yang sebaik-baiknya. Kamu telah datang daripada jihad kecil menuju jihad yang lebih besar.” Dikatakan: “Apa jihad lebih besar itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Seseorang hamba mujahadah melawan hawa nafsunya.”
Dalam melaksanakan mujahadah, seseorang mukmin hendaklah melakukan sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh serta istiqamah dalam melaksanakannya. Kekuatan hati amat perlu untuk melawan godaan nafsu yang sentiasa memalingkan hati manusia dari melakukan perkara-perkara yang merosakkan diri.
Oleh itu, mereka yang bermujahadah, jangan sesekali melakukan sesuatu yang ‘suka’ untuk dilakukan tetapi tetapi hendaklah melakukan perkara yang ‘perlu’ dilakukan supaya akhirnya mereka tidak terkeliru dengan kehendak nafsu yang hanya cenderung kepada perkara-perkara yang menyeronokkan dan melalaikan.
Ini kerana, mengawal, mengurus dan mengendalikan hawa nafsu atau godaan nafsu yang menjurus kepada perbuatan yang disukai syaitan dan dimurkai Allah SWT adalah wajib. Ini kerana, seseorang yang mengejar kebaikan untuk mendapat ganjaran syurga Allah SWT akan melalui jalan perit iaitu perjuang mengatasi godaan nafsu yang sentiasa mengelilingi diri.
Justeru, menurut Ustaz Pahrol, seseorang mukmin perlu mengisi diri dengan keperluan ilmu, taktik dan strategi untuk melawan godaan hawa nafsu. Bahkan seseorang mukmin tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Ini kerana tidak ada jalan mudah untuk bermujahadah melainkan dengan ilmu dan amalan serta ketaqwaan yang tinggi di sisi Allah SWT.
Ini kerana seseorang yang terpedaya dengan nafsu, tidak akan sekali-kali dapat menjadi khalifah yang berjaya di sisi Allah SWT. Manusia juga perlu sedar akan godaan nafsu sesungguhnya adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
"Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya."
Oleh itu, terdapat tiga perkara penting perlu diamalkan oleh seseorang mukmin dalam mujahadah melawan nafsu iaitu menahan atau menyekat sumber kekuatannya. membebankan nafsu dengan ibadah dan sentiasa berdoa minta bantuan Allah SWT untuk menewaskannya.
Bagi menyekat godaan hawa nafsu, seseorang mukmin digalakkan untuk melaksanakan puasa. Ini bertujuan mendisiplinkan diri menahan perut daripada makan dan secara tidak langsung akan membantu menundukkan mafsu. Selain itu juga menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah.
Selain itu dalam mujahadah seseorang mukmin hendaklah menahan nafsunya dengan cara mendekatkan diri dengan Allah SWT. Selain solat wajib yang ditunaikan, hendaklah memperbanyakkan solat malam (qiamulalil). Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu iaitu yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan ulama atau guru agama.
Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja kebajikan, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebaikan lain. Pokok pangkalnya melaksanakan ibadah sehingga nafsu merasa letih untuk melakukan kejahatan. Sesungguhnya nafsu itu tidak pernah lelah dengan keinginannya, maka hanya ibadah kepada Allah secara ikhlas yang dapat menundukkannya.
Sesorang yang bermujahadah hendaklah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diberikan ketetapan iman serta dijauhi dari segala perbuatan yang membawa kepada kemungkaran. Doa adalah senjata seseorang mukmin, oleh itu jangan sesekali merasa malas untuk selalu meminta kepada-Nya kerana Allah sendiri amat suka kepada hamba yang selalu meminta kepada-Nya.
Berdoalah kepada Allah seperti doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah: “Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”
Mujahadah adalah sesuatu yang perit tetapi manis apabila dapat iqtiqamah dengan kebaikan kerana itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT di akhirat nanti.
Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan