MARDHATILLAH | BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL | BINA SYURGA DI RUMAH, BINA RUMAH DI SYURGA | SEKIRANYA KITA AHLI KARIAH TIDAK IMARAHKAN MASJID KITA, SIAPA LAGI.. KAN? 🕌 #mardhatillah #sayangimasjidkita💖 #kitajagakita🤝#mohkomosojid 🚶🚲🛵🚗...
Bookmark Blog Masjid Warisan Kariah Geylang!
KEMASKINI BLOG : AHAD 10 NOVEMBER 2024 07:05

Khamis, 24 Februari 2022

Ramadhan Bulan Amal Kebajikan


وَأَحۡسِن كَمَاۤ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَیۡك

"...Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah)."
[Surah al-Qasas 77].

17 Ramadhan kita sudah melepasi separuh Ramadhan, hampir setiap hari tadabbur kalamullah membincangkan mengenai pelbagai kebaikan dan kebajikan yang boleh kita lakukan demi meraih jutaan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT khususnya di bulan Ramadhan ini dan juga demi melayakkan kita memasuki syurga kelak.

Persoalannya sudah berapa banyak kebaikan dan kebajikan yang telah kita lakukan. Sudah berapa peratus peluang kebaikan yang sudah kita rebut.

Jom muhasabah:

1. Adakah lidah dan tangan kita masih aktif mengumpat, menipu dan mencela atau sudah berhenti?

2. Sudah berapa banyak sedekah yang telah kita keluarkan. Adakah setiap hari atau belum mula lagi?

3. Sudah berapa juzuk al-Quran yang dibaca? Adakah sudah khatam? Sudah berapa ayat kita tadabbur dan amalkan?

4. Sudah berapa ramai orang yang berbuka puasa ditaja oleh kita?

5. Sudah cukupkah istighfar, selawat, zikir dan munajat kita kepada Allah?

6. Taubat kita, bagaimana? Cukupkah 100x sehari?

7. Bagaimana malam Ramadhan kita? Adakah diisi dengan solat dan ibadah malam atau habis dengan menonton tv, bermedia sosial atau tidur sepanjang malam?

8. Berapa banyak fakir miskin, ibu tunggal, orang sakit yang kita santuni dan gembirakan dengan bantuan?

9. Sudahkah kita menyelesaikan pembayaran zakat harta dan zakat fitrah?

10. Adakah kita terlibat dengan majlis ilmu secara atas talian (online) di saat ini atau sibuk melayari youtube dengan pelbagai filem-filem dan drama?

11. Bagaimana solat fardhu berjemaah bersama ahli keluarga? Istiqamahkah? Atau hanya dilakukan sendirian tanpa berjemaah?

12. Bagaimana bakti kita terhadap ibubapa kita yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia? Bertanya khabar atau tidak? Berapa banyak yang kita telah infaq dan wakaf atas nama mereka sedangkan dahulunya mereka berhabis duit, tenaga dan masa dalam membesarkan dan menjadikan kita insan berguna?

Ingatlah bahawa peluang untuk melakukan kebaikan terbentang luas di depan mata kita. Sepatutnya peluang ini direbut dan dilaksanakan tanpa sebarang alasan. Peluang ini boleh diaksanakan selagi kita masih bernafas. Esok, lusa dan tahun depan belum tentu kita masih hidup. Ini adalah peluang keemasan kita untuk ke syurga.

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

"Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Rabbnya maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh (kebajikan) dan janganlah dia menyekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Rabbnya." 
[Surah al-Kahfi 110].

Jika kita benar-benar mendambakan syurga, kita sanggup korbankan apa sahaja demi meraih syurga kecualilah kita memang tidak berminat dengan syurga. Nabi SAW bersabda :

كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى ؟ قَالَ : مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

"Semua umatku akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan (tidak mahu masuk syurga). Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Siapakah yang enggan itu?” Baginda SAW menjawab: “Barangsiapa yang mentaatiku nescaya ia akan masuk syurga, dan siapa yang bermaksiat (menderhaka) kepadaku maka dia enggan (syurga)."
(HR al-Bukhari).

Insafilah kalam Rasulullah SAW ini: "Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: "Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin."

(HR al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Jom gandakan kebaikan, kebajikan dan amal soleh di sepanjang Ramadhan ini dan juga di sepanjang usia kita yang masih berbaki ini. Semoga kita tidak menyesal di akhirat kelak.

Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PESAN ABAH

Abah, Ayah, Bapa, Papa, Walid dan apa sahaja gelaran untuk seorang lelaki yang berhempas-pulas membanting tulang empat kerat untuk si anak, ...