
Ada waktunya kita diuji dengan keterbatasan air, namun jangan sampai kekurangan kemudahan membuatkan kita ragu-ragu untuk beribadah.
Persoalan ambil wudhu' menggunakan air di dalam baldi yang tidak mencapai 2 kolah sering menimbulkan kebimbangan khususnya ketika berada di tandas atau tempat yang bekalan airnya terhad.
Persoalannya, adakah ambil wudhu' daripada baldi yang kurang 2 kolah menyebabkan air menjadi musta’mal atau tidak lagi sah digunakan untuk bersuci?
Ambil Wudhu' Dalam Baldi Kurang 2 Kolah Tetap Sah
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Negeri Selangor, ambil wudhu' menggunakan air di dalam baldi yang kurang daripada 2 kolah adalah sah selagi air tersebut merupakan air mutlak, iaitu suci lagi menyucikan.
Air tersebut juga hendaklah tidak berubah warna, bau atau rasanya disebabkan sesuatu yang mencemarkan kesuciannya.
Maka, ukuran 2 kolah bukan bermaksud air yang kurang daripada jumlah tersebut tidak boleh digunakan untuk ambil wudhu'.
Perlukah Niat Mencedok Air?
Dalam Mazhab Syafie, seseorang yang ingin ambil wudhu' daripada bekas air yang kurang 2 kolah disunatkan berniat ightiraf, iaitu niat mengambil atau mencedok air untuk digunakan bagi wudhu'.
Hal ini penting apabila tangan dimasukkan ke dalam bekas air.
Jika seseorang memasukkan tangan dengan niat mengangkat hadas, terdapat perbahasan mengenai status air yang bersentuhan dengan anggota tersebut.
Sebaliknya, jika tangan tercelup secara tidak sengaja ketika ambil wuduk dan perbuatan itu tidak diniatkan untuk mengangkat hadas sebaliknya sekadar memindahkan air, air tersebut tidak menjadi musta’mal.
Percikan Tidak Merosakkan Air
Ramai juga bimbang apabila air daripada anggota wudhu' terpercik semula ke dalam baldi ketika ambil wudhu'.
Menurut penjelasan Mufti Selangor, percikan air yang sedikit daripada basuhan anggota wajib wudhu' tidak menyebabkan air di dalam baldi yang kurang 2 kolah menjadi musta’mal.
Hal ini kerana percikan tersebut sedikit, tidak mengubah sifat air dan sukar dielakkan dalam keadaan biasa.
Oleh itu, air tersebut kekal sebagai air mutlak dan boleh digunakan untuk ambil wudhu'.
Ambil Wudhu' Dalam Tandas, Adakah Air Tercemar?
Persekitaran tandas juga sering menimbulkan keraguan ketika ambil wudhu'.
Hakikatnya, sesuatu tempat tidak dihukum bernajis hanya berdasarkan sangkaan.
Jika tandas diyakini bersih dan tiada tanda kewujudan najis seperti ain, warna atau bau, maka keadaan tersebut dianggap suci.
Begitu juga jika anggota badan atau pakaian terkena sesuatu yang basah di dalam tandas.
Ia tidak terus dihukum bernajis selagi tiada bukti bahawa basahan tersebut mengandungi najis.
Islam mengajar umatnya supaya tidak membebankan diri dengan waswas. Allah SWT berfirman :
مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ
“Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Panduan Ambil Wudhu' Dalam Baldi
Bagi memastikan ambil wudhu' daripada baldi dilakukan dengan betul, beberapa perkara berikut boleh dijadikan panduan :
- Pastikan air ialah air mutlak, suci lagi menyucikan.
- Jika menggunakan air kurang 2 kolah, sunat berniat ightiraf ketika mencedok air.
- Percikan kecil daripada basuhan anggota wudhu' yang kembali ke dalam baldi adalah dimaafkan.
- Jangan menghukum air sebagai bernajis hanya kerana berada di dalam tandas tanpa bukti kewujudan najis.
- Jika terdapat najis yang jelas, bersihkan sehingga hilang ain, warna, bau dan rasanya.
Kesimpulannya, ambil wudhu' menggunakan air di dalam baldi yang kurang daripada 2 kolah adalah sah, selagi air tersebut kekal sebagai air mutlak dan tidak tercemar dengan najis.
Jangan biarkan keraguan menghalang kita daripada beribadah.
Dalam perkara yang tidak dapat dielakkan seperti percikan air yang sedikit, syarak memberikan keringanan.
Yang penting, pastikan ambil wudhu' dilakukan dengan tertib dan menggunakan air yang suci lagi menyucikan.
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan