Kadang-kadang seorang isteri berasa kecil hati. Suami keluar ke masjid, solat berjemaah, dengar kuliah, buat ibadah di luar rumah. Isteri pula di dapur, di sinki, di ampaian, di ruang tamu mengemas rumah.
Seolah-olah suami mengumpul pahala, isteri hanya mengurus rutin harian yang tiada nilai di sisi akhirat.
Hakikatnya, di situlah besarnya pahala isteri yang ramai tidak sedar.
Perkongsian Ustaz Azhar Idrus (UAI) membuka satu sudut yang sangat halus tetapi besar nilainya di sisi Allah.
Bila isteri ada hubungan dengan kemudahan suami untuk pergi beribadah, di situlah mengalir pahala isteri tanpa disedari.
Pahala isteri melalui pakaian yang dibasuh
Bayangkan suami memakai baju yang dibasuh oleh isteri untuk ke masjid.
Baju itu bersih kerana tangan isteri.
Kopiah itu wangi kerana isteri yang mencucinya.
Sarapan itu tersedia kerana isteri bangun awal menyediakannya.
Suami melangkah ke masjid dalam keadaan bersih, kemas dan bertenaga untuk beribadah kepada Allah.
Di situ terbit pahala isteri.
Rasulullah ﷺ bersabda :
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ
“Barang siapa menunjukkan kepada kebaikan, maka dia mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.”
(Riwayat Muslim)
Isteri mungkin tidak melangkah ke masjid, tetapi dia ‘menghantar’ suaminya ke masjid dengan segala persiapan.
Maka dia mendapat bahagian daripada pahala suami itu.
Pahala isteri bila suami mencari rezeki halal, bukan hanya ketika suami ke masjid.
Apabila suami keluar mencari rezeki yang halal, itu juga perintah Allah.
Rasulullah ﷺ bersabda:
طَلَبُ الْحَلَالِ فَرِيضَةٌ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ
“Mencari yang halal itu satu kewajipan selepas kewajipan (ibadah fardhu).”
(Riwayat al-Tabarani)
Suami keluar bekerja memakai pakaian yang dibasuh isteri, makan makanan yang disediakan isteri, dengan tenaga hasil layanan isteri.
Setiap langkah suami mencari yang halal, mengalir juga pahala isteri kerana dia menjadi sebab kepada ketaatan itu.
Namun UAI mengingatkan satu perkara penting.
Kalau isteri tidak taat kepada suami, tidak peduli ke mana suami pergi, tidak membantu, tidak memudahkan, menyakitkan hati suami, maka terputuslah hubungan yang melahirkan pahala isteri itu.
Kerana pahala ini lahir daripada kerjasama dalam ketaatan.
Allah SWT berfirman :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى
“Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.”
(Al-Ma’idah: 2)
Rumah tangga yang saling membantu dalam ketaatan akan melahirkan aliran pahala isteri dan suami yang berpanjangan.
Dunia tidak nampak kerja isteri sebagai ibadah.
Basuh baju, lipat kain, masak, kemas rumah, semua itu dianggap rutin biasa.
Tetapi bila semua itu diniatkan untuk memudahkan suami taat kepada Allah, ia berubah menjadi ladang pahala isteri yang sangat besar.
Rasulullah ﷺ bersabda :
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”
(Sahih Bukhari & Muslim)
Kerja yang sama, tetapi niat yang berbeza, menghasilkan nilai akhirat yang sangat berbeza.
Pahala isteri yang ‘boleh claim’ di hadapan Allah.
Kata UAI, “Mana kita nak claim kerja akhirat, kita kena ada claim juga.”
Ini bukan tentang berbangga. Ini tentang sedar bahawa seorang isteri juga ada ‘saham akhirat’ melalui suaminya.
Bila suami solat jemaah, isteri ada bahagian.
Bila suami dengar kuliah, isteri ada bahagian.
Bila suami mencari rezeki halal, isteri ada bahagian.
Inilah kelebihan besar pahala isteri yang Allah sembunyikan di sebalik kerja rumah.
Sebab itulah ulama menyebut, kedudukan seorang isteri yang menjaga rumahtangga dengan baik sangat tinggi di sisi Allah.
Dia mungkin tidak dikenali di luar rumah.
Tetapi di sisi Allah, setiap rutin hariannya mengalirkan pahala isteri yang tidak putus-putus.
Kerana dia menjaga ‘kilang pahala’ yang bernama suami.
Ramai para isteri melihat kerja rumah sebagai beban dan ada juga isteri yang menganggap memasak menyediakan makanan untuk suami dan anak-anak tidak ubah seperti hamba abdi.
Sedangkan jika difahami dari sudut agama, inilah keuntungan besar seorang isteri.
Tanpa perlu keluar rumah, tanpa perlu berada di saf hadapan, tanpa perlu memegang mikrofon kuliah, dia tetap mengumpul pahala suami setiap hari.
Asalkan dia sedar, setiap layanan kepada suami adalah saham akhirat.
Wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan