
Rugi kalau tak tahu, sebenarnya ada banyak amalan sunat yang ringkas dan mudah untuk dilakukan tetapi menjanjikan ganjaran pahala yang sangat besar di sisi Allah SWT.
Sering kali dalam kesibukan mengejar urusan duniawi, kita terlepas pandang aktiviti harian yang jika diselitkan dengan sedikit keikhlasan dan mengikut sunnah, mampu menjadi saham akhirat yang luar biasa beratnya di mizan kelak.
Detik kehidupan kita berlalu pantas, namun adakah kita sudah cukup bersedia dengan bekalan yang berkualiti?
Menghidupkan sunnah Nabi SAW bukan sahaja tanda cinta kita kepada Baginda, malah ia adalah jalan pintas untuk meraih rahmat serta kasih sayang Allah.
Jom kita semak 7 bentuk zikir dan ibadah ringan ini tetapi mempunyai fadhilat yang sangat dahsyat menurut hadis-hadis sahih.
1. Membaca Doa Selepas Selesai Wudhu'
Ramai dalam kalangan kita yang selepas mengambil wudhu', terus bergegas menyarung telekung atau bersiap untuk solat tanpa membaca doa.
Walaupun nampak remeh, menghidupkan amalan sunat ini sejurus membasuh anggota wudhu' mempunyai ganjaran yang sangat agung.
Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk membaca doa ini :
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنِي مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya : "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan Rasul-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku daripada golongan orang-orang yang bersuci dan jadikanlah aku daripada hamba-hamba-Mu yang soleh".
Fadhilatnya tersangatlah luar biasa dimana mafhum daripada Hadis Sahih Riwayat Muslim menjelaskan bahawa sesiapa yang membaca doa ini selepas berwudhu' dengan sempurna akan dibukakan buatnya lapan pintu syurga dan dia bebas untuk masuk dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.
2. Dua Rakaat Sebelum Solat Subuh
Sering kali kita liat untuk bangun awal sebelum azan Subuh berkumandang sedangkan di waktu fajar itulah tersimpannya permata ganjaran yang melebihi nilai seluruh isi bumi ini.
Ini merupakan satu amalan sunat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW walaupun ketika Baginda sedang bermusafir.
Dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan solat sunat fajar ini :
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
Maksudnya: “Dua rakaat sebelum Subuh itu adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
3. Amalan Sunat Rawatib 12 Rakaat Sehari Semalam
Bagi mereka yang ingin mendiami mahligai indah di dalam syurga kelak, pastikan anda tidak melupakan komitmen amalan sunat rawatib secara konsisten sebanyak 12 rakaat dalam sehari semalam.
Pecahan 12 rakaat tersebut adalah seperti berikut :
- 2 rakaat sebelum solat fardhu Subuh
- 4 rakaat sebelum solat fardhu Zuhur (2 rakaat + 2 rakaat)
- 2 rakaat selepas solat fardhu Zuhur
- 2 rakaat selepas solat fardhu Maghrib
- 2 rakaat selepas solat fardhu Isyak
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang mengerjakan 12 rakaat solat sunat dalam sehari semalam, maka akan dibinakan baginya sebuah rumah di syurga.”
(Hadis Riwayat Muslim).
4. Membaca Doa Ketika Masuk Pasar Dan Pusat Beli-Belah
Pasar, pasar raya atau pusat beli-belah (mall) adalah antara tempat yang paling disukai oleh syaitan kerana di situlah lubuk lalainya manusia.
Walau bagaimanapun, jika kita menghidupkan amalan sunat dengan membaca doa masuk pasar, Allah SWT akan memberikan ganjaran yang tersangat besar.
Bacalah doa ini apabila melangkah masuk ke dalam pusat beli-belah :
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : “Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya pujian. Dia yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Dia Maha Hidup tidak mati, di tangan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”
Berdasarkan Riwayat Al-Tirmizi (3428), Allah SWT akan menetapkan sejuta kebaikan buatnya, menghapuskan sejuta kejahatannya serta mengangkat kedudukannya sebanyak sejuta darjat.
5. Amalan Sunat Bersiwak Atau Bersugi Sebelum Solat
Membersihkan mulut menggunakan kayu sugi atau bersiwak sebelum menunaikan solat fardhu mahupun sunat merupakan sebahagian daripada tuntutan kebersihan yang amat dicintai oleh Baginda SAW.
Melakukan amalan sunat bersugi ini secara langsung mampu meningkatkan gred pahala solat kita berlipat ganda.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Solat yang dilakukan dengan bersugi (bersiwak) terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat solat dengan tidak bersugi.”
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi dan Ahmad)
6. Amalan Sunat Membaca Surah Ayatul Kursi Selepas Solat Fardhu
Walaupun dalam keadaan tergesa-gesa atau mempunyai urusan kerja yang mendesak, paksa diri kita untuk kekal duduk seketika selepas salam demi mengamalkan amalan sunat membaca surah Ayatul-Kursi.
Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ إِلَّا أَنْ يَمُوتَ
Maksudnya : “Barangsiapa yang membaca Ayatul-Kursi setiap kali selepas selesai solat fardhu, tidak ada yang menghalangnya daripada masuk ke syurga melainkan kematian.”
7. Amalan Sunat Membaca Doa Iktidal Versi Panjang
Sering kali kita hanya membaca “Rabbana lakal hamdu” ketika bangkit dari ruku'.
Namun, tahukah anda terdapat satu amalan sunat bacaan iktidal yang membuatkan puluhan malaikat berebut-rebut untuk mencatit pahala anda?
Sambung bacaan iktidal anda dengan lafaz ini :
رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ
Maksudnya : “Ya Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian, pujian yang banyak, yang baik dan penuh keberkatan.”
Mengikut rekod hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, sejurus seorang sahabat membaca lafaz ini dalam solat, Nabi SAW menyatakan bahawa Baginda melihat lebih daripada 30 malaikat saling berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama mencatat pahala amalan tersebut.
Sungguh agung rahmat Allah buat kita semua!
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan